SAN FRANCISCO: NVIDIA mengumumkan perjanjian muktamad untuk mengambil alih platform AI sumber terbuka, Hugging Face, dalam urus niaga bernilai AS$12.93 bilion (kira-kira RM55.1 bilion), lapor Amanz.
Langkah itu dilihat sebagai usaha memperluas kehadiran NVIDIA dalam ekosistem perisian AI, selain mengukuhkan kedudukannya dalam industri kecerdasan buatan global.
NVIDIA memberi jaminan bahawa Hugging Face akan terus beroperasi secara berasingan dan kekal sebagai platform terbuka yang menyokong pelbagai model, rangka kerja, penyedia awan dan infrastruktur pengkomputeran.
Berpangkalan di New York, Hugging Face merupakan antara platform paling penting dalam komuniti AI sumber terbuka dengan lebih 18 juta pembangun menggunakan platform itu untuk berkongsi lebih tiga juta model AI, 500,000 dataset dan sejuta aplikasi.
Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA, Jensen Huang, berkata pengambilalihan itu akan membantu meningkatkan kapasiti platform berkenaan serta memperluas akses kepada teknologi AI bagi pembangun dan institusi penyelidikan di seluruh dunia.
"Hugging Face akan kekal sebagai platform terbuka untuk seluruh ekosistem AI. Pembangun bebas memilih model, rangka kerja, penyedia awan dan platform pengkomputeran yang mereka inginkan," katanya.
Menurut NVIDIA, syarikat itu telah lama menyumbang kepada ekosistem Hugging Face menerusi ratusan model AI dan dataset terbuka. NVIDIA berkata ia telah menerbitkan lebih 500 model dan lebih 250 dataset terbuka di platform berkenaan.
Urus niaga itu merupakan pengambilalihan kedua terbesar dalam sejarah NVIDIA selepas pembelian aset syarikat cip AI, Groq, bernilai AS$20 bilion pada penghujung tahun lalu.
Selain pengambilalihan tersebut, NVIDIA terus aktif melabur dalam syarikat teknologi AI bagi mengembangkan penggunaan perisian dan aplikasi yang dibangunkan berasaskan infrastruktur pengkomputerannya.