Skip to main content

Teknologi

OpenAI berdepan saman baharu susulan kematian pengguna ChatGPT

Berdasarkan semakan ke atas lebih 270,000 log mesej, plaintif mendakwa ChatGPT telah mencadangkan jadual pemberhentian ubat yang agresif serta menggalakkan Wan supaya tidak berkongsi rancangan tersebut dengan doktor yang merawatnya. -Gambar fail
Berdasarkan semakan ke atas lebih 270,000 log mesej, plaintif mendakwa ChatGPT telah mencadangkan jadual pemberhentian ubat yang agresif serta menggalakkan Wan supaya tidak berkongsi rancangan tersebut dengan doktor yang merawatnya. -Gambar fail

Advertisement

NEW YORK: OpenAI berdepan satu lagi tindakan saman selepas ibu bapa kepada seorang bekas jurutera Amazon mendakwa penggunaan ChatGPT menyumbang kepada kematian anak perempuan mereka.

Menurut Amanz yang memetik laporan The New York Times, mangsa yang dikenal pasti sebagai Bowen Wan, 31, meninggal dunia pada Februari 2026 selepas didakwa mengikut jadual pengurangan dos ubat sawan yang disyorkan menerusi interaksi dengan sistem kecerdasan buatan (AI) tersebut.

Wan dilaporkan kehilangan pekerjaan pada penghujung 2025 susulan pengurangan tenaga kerja di Amazon.

Visa kediamannya di Amerika Syarikat pula dilaporkan bakal tamat tempoh pada pertengahan Februari sekiranya beliau gagal memperoleh pekerjaan baharu.

Menurut dokumen saman, Wan dipercayai mahu meningkatkan prestasi komunikasi ketika menghadiri temu duga pekerjaan dan percaya bahawa pengurangan dos ubat sawan jenis lamotrigine dapat mengurangkan kesan sampingan tertentu yang dialaminya.

Berdasarkan semakan ke atas lebih 270,000 log mesej, plaintif mendakwa ChatGPT telah mencadangkan jadual pemberhentian ubat yang agresif serta menggalakkan Wan supaya tidak berkongsi rancangan tersebut dengan doktor yang merawatnya.

Dokumen saman turut mendakwa sebahagian besar interaksi kritikal berlaku dalam bahasa Mandarin, dengan sistem keselamatan OpenAI didakwa kurang berkesan berbanding interaksi dalam bahasa Inggeris.

Plaintif juga mendakwa sistem itu telah memberikan jaminan yang menenangkan ketika keadaan kesihatan Wan semakin merosot sebelum beliau akhirnya meninggal dunia akibat kematian mengejut yang tidak dijangka akibat epilepsi (SUDEP).

Saman itu difailkan di San Francisco dengan keluarga Wan berhujah bahawa OpenAI sepatutnya mengenakan kawalan lebih ketat terhadap pemberian nasihat perubatan berisiko tinggi, sama seperti sekatan yang dikenakan terhadap kandungan lain yang dilindungi hak cipta.

Mereka turut mendakwa syarikat itu gagal menghalang model AI daripada membentuk hubungan parasosial atau ikatan emosi sehala yang boleh mempengaruhi pertimbangan pengguna.

Sementara itu, OpenAI menyifatkan insiden berkenaan sebagai menyedihkan, namun berkata kes tersebut melibatkan model generasi terdahulu yang tidak lagi digunakan dalam produk pengguna semasa.

Menurut syarikat itu, sistem AI terbaharu kini dilengkapi mekanisme keselamatan yang lebih kukuh untuk mengenal pasti situasi yang memerlukan campur tangan profesional kesihatan.

Kes melibatkan Bowen Wan menambah senarai tindakan undang-undang yang dikaitkan dengan penggunaan produk AI selepas OpenAI turut berdepan saman lain berkaitan dakwaan kecuaian dan keselamatan pengguna sebelum ini.

Must Watch Video

Advertisement