OpenAI hari ini mengumumkan pelancaran rasmi ciri pengiklanan di platform ChatGPT di Malaysia, lapor Amanz.
Langkah itu membolehkan pelbagai jenama korporat menjangkau pengguna secara langsung ketika mereka membuat carian, mengemukakan pertanyaan atau merancang sesuatu aktiviti melalui platform kecerdasan buatan berkenaan.
Pelancaran di Malaysia merupakan sebahagian daripada strategi peluasan OpenAI ke tujuh pasaran baharu di Asia Tenggara dan Taiwan, susulan fasa pengenalan awal di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Jepun dan India sebelum ini.
Bagi pengiklan, ekosistem yang dikenali sebagai ChatGPT Ads boleh diakses secara layan diri menerusi platform Ads Manager bagi menetapkan sasaran pengguna.
OpenAI menegaskan iklan komersial akan dipaparkan di bahagian bawah jawapan ChatGPT tanpa menjejaskan atau mempengaruhi respons yang dijana platform itu.
Ciri pengiklanan itu hanya dipaparkan kepada pengguna pelan ChatGPT Free dan pelan mampu milik ChatGPT Go.
Sementara itu, pengguna pelan premium berbayar seperti ChatGPT Plus, Pro dan Enterprise akan terus menikmati pengalaman tanpa iklan buat masa ini.