OPENAI hari ini memperkenalkan ciri keselamatan baharu untuk ChatGPT yang dikenali sebagai Locked Chats, bagi membolehkan pengguna melindungi perbualan tertentu dengan lapisan privasi tambahan, lapor Amanz.
Menerusi ciri itu, pengguna boleh menyembunyikan dan mengunci perbualan sensitif menggunakan kod PIN empat digit atau pengesahan biometrik seperti Face ID, Touch ID dan kaedah nyahkunci peranti yang disokong pada telefon pintar.
Perbualan yang dikunci akan disembunyikan daripada sejarah sembang biasa, senarai perbualan yang disematkan serta fungsi carian, sekali gus membantu melindungi maklumat peribadi daripada dilihat pihak lain.
Ciri berkenaan dilihat berguna khususnya bagi pengguna yang berkongsi peranti dengan individu lain atau ketika berkongsi skrin semasa pembentangan dan mesyuarat.
Bagaimanapun, OpenAI mengingatkan bahawa tindakan menetapkan semula PIN akaun akan menyebabkan semua perbualan yang dikunci, termasuk fail dan kandungan yang berkaitan, dipadamkan secara kekal dan tidak boleh dipulihkan.
Menurut OpenAI, ciri Locked Chats sedang dilancarkan secara berperingkat kepada pengguna ChatGPT di bawah pelan Free, Go, Plus, Pro, Business, Enterprise dan Edu di seluruh dunia.