KUDAT: Seorang pekerja kapal warga Filipina ditemukan lemas pada Selasa selepas dipercayai terjatuh ke laut dari sebuah kapal yang berlabuh di Jeti Ko-Nelayan di sini, lapor Sinar Harian.
Mangsa lelaki berusia lingkungan 20-an itu dilaporkan terjatuh ke laut kira-kira jam 10.30 malam Isnin sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darikson Galanang berkata pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Kudat berhubung kejadian itu pada jam 10.37 malam.
Menurut beliau, sepasukan anggota segera dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira satu kilometer dari BBP Kudat.
Beliau berkata rakan mangsa yang menyaksikan kejadian itu telah menjalankan usaha pencarian dengan menyelam di sekitar jeti dan lokasi mangsa dipercayai terjatuh, namun tidak berhasil.
"Menurut laporan, seorang pekerja kapal telah terjatuh ke dalam laut dari sebuah kapal yang berlabuh di Jeti Ko-Nelayan.
"Rakan mangsa yang menyaksikan kejadian telah menjalankan usaha pencarian dengan menyelam di sekitar jeti dan lokasi mangsa dipercayai terjatuh, namun gagal menemukannya," katanya.
Darikson berkata pasukan bomba bersama polis kemudian menjalankan operasi SAR di sekitar lokasi kejadian.
Beliau berkata operasi ditangguhkan selepas perbincangan dengan pihak polis berikutan keadaan persekitaran yang gelap sebelum disambung semula pada keesokan pagi.
"Operasi disambung pada jam 9.20 pagi menggunakan bot penyelamat bomba di sekitar kawasan jeti.
"Pada jam 10.20 pagi, mangsa berjaya ditemui oleh seorang nelayan yang melakukan selaman di lokasi mangsa dilaporkan terjatuh," katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir ke lokasi.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 11 pagi selepas pasukan penyelamat memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.