Skip to main content
Advertisement

Politik

PRN Melaka: “Kita mungkin lemah sekarang, hari mengundi belum tahu’ - Ramanan

Ramanan bercakap dalam sidang media sempena program Harmoni MADANI dan Dharma MADANI di Menara PERKESO, di Putrajaya, pada Selasa. - Foto Astro AWANI
Ramanan bercakap dalam sidang media sempena program Harmoni MADANI dan Dharma MADANI di Menara PERKESO, di Putrajaya, pada Selasa. - Foto Astro AWANI

Advertisement

Ringkasan AI

  • Pakatan Harapan dan PKR mensasarkan kemenangan 70 hingga 80 peratus daripada 21 kerusi yang ditandingi pada PRN Melaka.
  • Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan, menyatakan keputusan sebenar bergantung kepada gelombang sokongan pengundi pada saat akhir.
  • PH dan PKR telah membuat persiapan rapi, termasuk mengumumkan calon lebih awal untuk memastikan jentera parti bersedia menghadapi PRN Melaka.

PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan sasaran kemenangan antara 70 hingga 80 peratus bagi keseluruhan 21 kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bagaimananapun, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R. Ramanan berkata, keputusan konkrit bergantung kepada gelombang sokongan pengundi pada saat-saat akhir.

Mengulas persaingan sengit di kerusi-kerusi tumpuan PRN Melaka, Ramanan berpandangan dinamik politik serta kekuatan sesebuah parti boleh berubah menjelang hari pembuangan undi.

“Politik ini kita nampak kuat hari ini, tetapi bila hari pengundian datang, kita tak tahu keadaan dia macam mana.

“Kita mungkin lemah hari ini, tetapi pada hari pengundian kita tak tahu keadaan dia macam mana.

“Dia bergantung pada hari kejadian itu sendiri, dua atau tiga hari terakhir, bagaimana gelombang pengundi yang datang,” katanya dalam sidang media sempena program Harmoni MADANI dan Dharma MADANI di Menara PERKESO, di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ramanan memetik sudut psikologi pertandingan, iaitu setiap parti sudah tentunya menyasarkan kemenangan penuh, namun penilaian realistik di lapangan perlu diambil kira.

“Kalau dalam mana-mana PRN kita bertanding 10 kerusi, doa kita sudah tentu mahu menang 10 kerusi, dan harapan kita mungkin enam atau tujuh kerusi. Sasaran kita (secara keseluruhan) mungkin 70 hingga 80 peratus.

“Tetapi yang sebenarnya, kita tunggu sehingga selesai proses pengundian baru kita tahu jawapannya,” ujar beliau berseloroh.

Menyentuh tahap kesiapsiagaan jentera parti menjelang hari penamaan calon pada 31 Oktober, Ramanan memberi jaminan PH dan PKR telah membuat persediaan rapi.

Menurutnya, langkah mengumumkan senarai calon lebih awal berbanding kebiasaan turut memberi kelebihan kepada jentera untuk bergerak pantas di lapangan.

“Tapisan calon telah berjalan secara teliti dan terperinci. Lebih penting daripada itu, kali ini kita memastikan jentera memang sudah bersedia untuk bergerak.

“Sebelum ini kita umum calon dua atau tiga hari sebelum hari penamaan calon, tetapi kali ini pengumuman dibuat lebih awal bagi memastikan persiapan jentera berjalan lancar,” katanya lagi.

Sebagai rekod, dalam pembahagian 21 kerusi PH pada PRN Melaka, PKR bertanding di sembilan kerusi, DAP tujuh kerusi dan Parti Amanah Negara (Amanah) lima kerusi.

Must Watch Video

Advertisement