Skip to main content

Teknologi

OpenAI perkenal GPT-5.6 secara terhad, akses libat kelulusan kerajaan AS

Sumber: AMANZ
Akses awal berkenaan diberikan dalam bentuk pratonton terhad sebagai sebahagian daripada usaha memastikan pematuhan kepada keperluan keselamatan sebelum pelancaran lebih meluas. -Foto Amanz
Advertisement

SAN FRANCISCO: OpenAI mula menawarkan model kecerdasan buatan (AI) generasi baharu, GPT-5.6, secara terhad kepada rakan kerjasama terpilih yang disahkan bersama kerajaan Amerika Syarikat (AS), lapor Amanz.

Menurut syarikat itu, akses awal berkenaan diberikan dalam bentuk pratonton terhad sebagai sebahagian daripada usaha memastikan pematuhan kepada keperluan keselamatan sebelum pelancaran lebih meluas.

Model GPT-5.6 hadir dalam tiga varian, iaitu Sol, Terra dan Luna, yang masing-masing dioptimumkan untuk tugasan berbeza termasuk aplikasi berasaskan agen AI yang memerlukan keupayaan penaakulan kompleks.

Sol merupakan model paling berkuasa dalam keluarga tersebut, manakala Terra menawarkan prestasi setanding model generasi sebelumnya pada kos lebih rendah, dan Luna direka sebagai pilihan lebih pantas serta menjimatkan. 

Sepanjang tempoh pratonton, model berkenaan hanya tersedia kepada sebilangan kecil rakan kerjasama melalui platform API dan persekitaran pembangunan tertentu. 

Langkah mengehadkan akses itu dilaporkan dibuat susulan penyelarasan dengan kerajaan AS, yang kini meningkatkan penelitian terhadap pembangunan sistem AI berkeupayaan tinggi. 

Dalam masa sama, OpenAI menyepadukan lapisan keselamatan tambahan bagi mengurangkan risiko penyalahgunaan, khususnya dalam bidang seperti keselamatan siber dan penyelidikan teknikal.

Perkembangan itu berlaku ketika pesaingnya, Anthropic, turut berdepan sekatan kerajaan selepas model terbaharunya, termasuk Fable 5, digantung akses susulan kebimbangan keselamatan. 

OpenAI bagaimanapun menegaskan bahawa pendekatan kawalan akses sedemikian tidak seharusnya menjadi amalan tetap, sebaliknya langkah sementara sebelum teknologi itu diperluas kepada pengguna umum.

 

Must Watch Video

Advertisement