Skip to main content

Teknologi

OpenAI perkenal integrasi ChatGPT dalam Word untuk suntingan dokumen

[TB]_ChatGPT Microsoft Word_AMANZ
Pelancaran itu dijangka memudahkan proses penyediaan dan penyuntingan dokumen digital tanpa memerlukan pengguna meninggalkan aplikasi Word untuk menggunakan ChatGPT melalui pelayar web secara berasingan. -Foto Amanz
Advertisement

SEKTOR kecerdasan buatan (AI) terus memacu produktiviti pejabat apabila OpenAI melancarkan ChatGPT untuk Microsoft Word, yang kini tersedia secara umum kepada pengguna di seluruh dunia, lapor Amanz.

Pelancaran itu dijangka memudahkan proses penyediaan dan penyuntingan dokumen digital tanpa memerlukan pengguna meninggalkan aplikasi Word untuk menggunakan ChatGPT melalui pelayar web secara berasingan.

Menerusi panel sisi yang diperkenalkan, pengguna boleh meminta ChatGPT menyemak dan menambah baik kandungan dokumen, menyusun semula format teks, menukar nota ringkas kepada draf lengkap serta melakukan penyuntingan secara langsung dalam dokumen yang sedang dibuka.

Ciri itu turut membantu mengurangkan keperluan menyalin dan menampal kandungan antara Word dan pelayar web, sekali gus mempercepatkan tugasan penulisan dan penyuntingan dokumen.

Menurut OpenAI, ChatGPT untuk Word disediakan kepada semua pengguna termasuk pelan Free, Plus, Pro, Business, Enterprise dan Edu, tertakluk kepada had penggunaan akaun masing-masing.

Pengguna boleh memasang aplikasi tambahan ChatGPT menerusi Microsoft Marketplace sebelum mengaksesnya melalui Word.

Integrasi itu menggunakan add-in yang sama seperti yang digunakan bagi Microsoft Excel dan PowerPoint.

OpenAI turut memaklumkan bahawa bermula 1 Okt 2026, akses ChatGPT untuk Word akan diaktifkan secara automatik bagi pelanggan Business, Enterprise dan Edu, tertakluk kepada tetapan yang ditentukan pentadbir organisasi serta pentadbir Microsoft 365.

Must Watch Video

Advertisement