APABILA DeepSeek dilancarkan beberapa bulan lalu, ia menggoncang dunia pembangunan teknologi dengan kemampuan yang dilihat menandingi model bahasa raya yang jauh lebih besar, seperti ChatGPT dan Google Gemini.


Ringkasan AI
  • Microsoft melarang pekerjanya menggunakan aplikasi DeepSeek kerana kebimbangan mengenai keselamatan data pengguna yang disimpan di China.
  • Terdapat kerisauan bahawa jawapan yang diberikan oleh DeepSeek boleh dipengaruhi oleh propaganda kerajaan China.
  • Model sumber terbuka DeepSeek R1 masih boleh digunakan dan ditawarkan melalui platform Microsoft Azure selepas ujian ketat.


Sayangnya, oleh kerana DeepSeek dibangunkan di China, terdapat banyak pihak, termasuklah kerajaan dan badan swasta yang telah menghalang penggunaan aplikasi AI tersebut kerana kerisauan mengenai data pengguna yang akan disimpan di negara tersebut.

Begitu jugalah alasan yang diberikan oleh Presiden Microsoft, Brad Smith.

Beliau mengatakan di antara sebab mengapa arahan tersebut dikeluarkan untuk para pekerja mereka ialah kerisauan bahawa data yang disimpan di China dan juga jawapan-jawapan yang diberikan oleh perisian AI DeepSeek boleh dipengaruh oleh “propaganda” kerajaan negara tersebut.

Perkara ini juga adalah sebab mengapa aplikasi chatbot DeepSeek yang dikeluarkan tidak ditawarkan melalui gedung digital Microsoft Store sehingga kini.

Tetapi menurut Microsoft, semua halangan ini hanya terhad kepada perisian chatbot DeepSeek yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut.

Oleh kerana model DeepSeek R1 dibangunkan dan ditawarkan secara sumber terbuka, model bahasa raya tersebut boleh dimuat turun dan dilatih menggunakan data khusus oleh sesiapa sahaja, dan bergantung kepada bagaimana model tersebut ditetapkan, data yang diinput pada model tersebut tidak akan dihantar ke China.

Malah, apa yang cukup menarik mengenai perkara ini ialah model DeepSeek R1 sudah pun ditawarkan melalui platform Microsoft Azure, dan pihak Microsoft mengatakan bahawa penawarannya dilakukan selepas ujian yang ketat, dan memastikan bahawa model bahasa raya tersebut tidak akan menyebabkan sebarang isu untuk mereka yang mahu menggunakannya. -Amanz