SINGAPURA: Gergasi media sosial Meta dilapor memulakan operasi pemberhentian pekerja di seluruh dunia, termasuk di Singapura hari ini.

Menurut sumber dan catatan di platform rangkaian profesional LinkedIn, terdapat sekurang-kurangnya 10 pekerja yang terjejas di Singapura berdasarkan kiraan di akaun LinkedIn dan sumber The Straits Times.

Langkah pemberhentian besar-besaran itu dijangka melibatkan 11,000 pekerja di peringkat antarabangsa, atau kira-kira 13 peratus daripada 87,000 tenaga kerja global firma induk Facebook itu.

Difahamkan mereka yang diberhentikan kerja di Singapura dimaklumkan tentang berita tersebut pada pagi Khamis melalui e-mel.

“Ketika saya bersiap untuk keluar ke pejabat hari ini, saya terpanggil untuk menyemak e-mel dan jadual kerja, sepertimana yang saya lakukan setiap hari,” kata pakar peningkatan integriti perniagaan Meta Syahid Ismail, di LinkedIn.

“Ketika itulah saya melihat e-mel yang amat digeruni dan ketakutan terbesar kerjaya saya menjadi kenyataan.

"Saya salah seorang daripada mereka yang terjejas akibat #metalayoffs," kata Syahid, menggunakan hashtag yang kini trending dalam kalangan mereka yang terjejas.

Difahamkan pemberhentian besar-besaran ini merangkumi pelbagai jabatan dan peranan, daripada perekrut kepada pengurusan produk, serta mereka yang bekerja di bahagian permainan.

Ibu pejabat Meta Asia-Pasifik terletak di daerah kewangan Marina Bay Singapura.

Selain Facebook, Meta yang berpangkalan di California juga memiliki platform media sosial Instagram dan WhatsApp.

Harga saham syarikat itu jatuh kira-kira 70 peratus tahun ini di tengah-tengah prestasi perniagaan yang mengecewakan ketika syarikat itu cuba menembusi bidang realiti maya.

Pemberhentian pekerja di Meta menyusul selepas langkah sama yang dilakukan firma teknologi global lain seperti Twitter dan Microsoft.

Pemilik Meta Mark Zuckerberg dalam kenyataan berkata beliau memikul tanggungjawab dan memohon maaf atas tindakan yang terpaksa diambil itu.

"Hari ini saya berkongsi beberapa perubahan paling sukar dalam sejarah Meta.

“Saya mengambil tanggungjawab atas keputusan ini dan bagaimana ia boleh sampai ke tahap ini.

"Saya tahu ia sukar untuk semua orang, dan saya memohon maaf kepada mereka yang terjejas.”

Selain mengecilkan saiz operasi, Zuckerberg turut merancang mengurangkan perbelanjaan dan menangguhkan pengambilan pekerja.

Kenyataan penuh Zuckerberg boleh dibaca di sini: https://about.fb.com/news/2022/11/mark-zuckerberg-layoff-message-to-employees/