Skip to main content

Teknologi

Qualcomm perkenal cip baharu untuk cermin mata pintar, XR berasaskan AI

Qualcomm Umum Platform Snapdragon Reality Elite dan START Untuk Peranti AI -- amanz
Dua platform itu ialah Snapdragon Reality Elite yang disasarkan untuk peranti XR generasi baharu, serta platform START (Scalable Turnkey AI‑Ready Toolkit) untuk pembangunan cermin mata pintar berasaskan AI. -Foto Amanz
Advertisement

SAN DIEGO: Qualcomm mengumumkan dua platform pemprosesan baharu bagi menyokong pembangunan cermin mata pintar dan set kepala realiti terimbuh (XR), lapor Amanz.

Ketua Pegawai Eksekutif, Cristiano Amon, berkata platform tersebut akan menjadi asas kepada lebih 40 peranti kecerdasan buatan (AI) boleh pakai yang dijangka dilancarkan tahun ini.

Dua platform itu ialah Snapdragon Reality Elite yang disasarkan untuk peranti XR generasi baharu, serta platform START (Scalable Turnkey AI‑Ready Toolkit) untuk pembangunan cermin mata pintar berasaskan AI.

Snapdragon Reality Elite merupakan penambahbaikan kepada siri cip XR terdahulu dengan peningkatan prestasi ketara, termasuk unit pemprosesan grafik (GPU) lebih laju sehingga 60 peratus, unit pemprosesan pusat (CPU) meningkat 30 peratus, serta unit pemprosesan saraf (NPU) melonjak sehingga 160 peratus.

Keupayaan tersebut membolehkan peranti menjalankan model AI berskala besar secara terus pada peranti tanpa bergantung kepada sambungan awan.

Selain itu, cip ini menyokong paparan resolusi tinggi sehingga 4.4K bagi setiap mata pada kadar 90 bingkai sesaat, serta sistem penjejakan kepala dan tangan yang lebih tepat untuk pengalaman XR yang lebih imersif.

Projek XREAL Project Aura disahkan sebagai antara peranti pertama yang akan menggunakan cip tersebut.

Sementara itu, platform START direka untuk menggabungkan cip realiti terimbuh (AR), perisian serta aplikasi dalam satu ekosistem bagi mempercepat pembangunan produk boleh pakai oleh rakan industri.

Platform ini boleh digunakan dalam pelbagai reka bentuk cermin mata pintar, termasuk model audio sahaja atau yang dilengkapi paparan tunggal dan dwi-skrin.

Syarikat seperti Inspecs dan O’Neill (TitanFlex) antara yang terawal mengesahkan penggunaan teknologi START.

Langkah Qualcomm ini dilihat memperkukuh kedudukan syarikat dalam segmen peranti boleh pakai, ketika cermin mata pintar semakin dilihat sebagai alternatif kepada telefon pintar pada masa hadapan.

Sebelum ini, peranti Google Intelligent Eyewear yang menggunakan sistem AndroidXR turut disahkan menggunakan cip keluaran Qualcomm.

 

Must Watch Video

Advertisement