HANGZHOU: Robot humanoid H1 keluaran Unitree Robotics kini mampu berlari pada kelajuan puncak sehingga 10.1 meter sesaat (m/s), sekali gus menghampiri kelajuan purata larian manusia terpantas dunia, Usain Bolt.
Kelajuan berkenaan hampir menyamai purata kepantasan rekod dunia 100 meter milik jaguh Jamaica itu, iaitu kira-kira 10.44 m/s, yang dicatatkan ketika Bolt mencipta rekod 9.58 saat pada Kejohanan Dunia 2009.
Advertisement
Unitree Robotics menyatakan berdasarkan perkembangan terkini, robot humanoid berkemampuan tinggi seperti H1 berpotensi melepasi ambang 10 saat bagi jarak 100 meter menjelang pertengahan tahun ini, walaupun pencapaian tersebut masih tertakluk kepada kaedah ujian dan piawaian rasmi.
Robot H1 direka dengan fizikal menyerupai manusia, mempunyai panjang gabungan paha dan betis sekitar 80 sentimeter serta berat 62 kilogram, menjadikannya antara robot humanoid terpantas setakat ini.
Kemajuan itu mengukuhkan lagi kedudukan China sebagai peneraju dalam pembangunan robot humanoid, selepas negara itu turut mencatat kejayaan dalam pasaran kenderaan elektrik global.
Sebelum ini, sebuah lagi robot buatan China, AgiBot A2, mencipta sejarah selepas diiktiraf Guinness World Records sebagai robot humanoid yang berjalan paling jauh, sejauh 106.286 kilometer dalam satu perjalanan berterusan.
Perkembangan pesat teknologi tersebut turut diserlahkan melalui penubuhan liga robot humanoid bertarung di Shenzhen serta penganjuran Sukan Robot Humanoid pertama dunia di China, yang berfungsi sebagai platform ujian dan pembangunan teknologi kecerdasan terjelma.