SERDANG: Langit Selangor bakal menyaksikan perubahan besar apabila teknologi dron dan mobiliti udara termaju (Advanced Air Mobility - AAM) menjadi pemacu baharu kepada pertumbuhan ekonomi, perkhidmatan awam yang lebih baik serta hubungan lebih kukuh antara industri.
Menerusi visi menjadikan Selangor sebagai hab serantau teknologi udara masa hadapan, Selangor Aviation & Technology Innovation Sdn Bhd (SELATI), anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor), mengambil langkah strategik melalui pemeteraian dua Memorandum Kerjasama (MOC) bagi mempercepat pembangunan ekosistem dron, AAM dan Ekonomi Altitud Rendah (Low Altitude Economy - LAE) di negeri itu.
Majlis pemeteraian yang berlangsung pada 26 Jun lalu di Serdang itu menyaksikan SELATI memeterai kerjasama pertama bersama SELGEM Sdn Bhd, manakala kerjasama kedua melibatkan kolaborasi tiga pihak antara SELATI, GTP Network Sdn Bhd dan EdgePoint Towers Sdn Bhd.
Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen SELATI dan MBI Selangor dalam membangunkan ekosistem teknologi baharu yang bukan sahaja memperkukuh sektor teknologi tinggi negeri, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada industri dan masyarakat.
Melalui kolaborasi tersebut, pihak terlibat akan meneroka peluang untuk membangunkan dan melaksanakan penyelesaian inovatif, memudah cara penglibatan industri serta pihak berkepentingan, selain menyokong proses ujian dan pelaksanaan teknologi baharu serta kes penggunaan berkaitan.
Usaha ini selari dengan aspirasi Selangor Aerospace Blueprint 2030 dan menyokong agenda Malaysia dalam memperkukuh sektor aeroangkasa serta teknologi tinggi negara.
Dengan perkembangan pesat teknologi dron dan penyelesaian mobiliti udara masa hadapan, pembangunan Ekonomi Altitud Rendah (LAE) dijangka membuka ruang kepada pelbagai peluang baharu termasuk peningkatan perkhidmatan awam, penyelesaian industri yang lebih cekap serta hubungan lebih baik antara pelbagai sektor.
Bagi memastikan pertumbuhan ekosistem ini turut disokong oleh kemasukan pelaburan berkualiti, SELATI bersama Invest Selangor Berhad akan menerajui usaha promosi pelaburan bagi menarik Pelaburan Langsung Domestik (DDI)dan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke negeri Selangor.
Gabungan pembangunan ekosistem dan pemudahcaraan pelaburan itu menjadi antara langkah penting dalam meletakkan Selangor sebagai hab utama teknologi dron, AAM dan industri Ekonomi Altitud Rendah yang sedang berkembang di Asia Tenggara.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah, berkata kerjasama berkenaan merupakan langkah penting dalam merealisasikan visi LAE Selangor.
“Kerjasama ini merupakan langkah penting dalam merealisasikan visi Ekonomi Altitud Rendah Selangor, di mana dron dan mobiliti udara termaju menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi baharu, perkhidmatan awam yang lebih baik serta hubungan yang lebih kukuh merentasi pelbagai industri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SELATI, Zannifa Azura Ahmad, yang juga Ketua Unit Khas Aeroangkasa & Penerbangan MBI Selangor, berkata pemeteraian kerjasama tersebut merupakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab utama pembangunan teknologi dron dan mobiliti udara termaju.
“Pemeteraian kerjasama ini merupakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab utama bagi pembangunan dron dan mobiliti udara termaju.
“Dengan menghimpunkan keupayaan serta sumber yang saling melengkapi, kita dapat mempercepatkan pertumbuhan ekosistem ini dan membuka peluang baharu kepada industri serta masyarakat,” ujarnya.
Sebagai anak syarikat milik penuh MBI Selangor, SELATI memainkan peranan penting dalam memacu inovasi teknologi, kemajuan aeroangkasa serta pertumbuhan ekosistem berkaitan di negeri Selangor.
Melalui inisiatif berterusan ini, SELATI bukan sahaja membentuk landskap teknologi udara masa depan, malah membuka laluan kepada peluang ekonomi baharu yang mampu mengangkat Selangor sebagai peneraju inovasi dan teknologi tinggi di rantau ini.