Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Siapa menangguk di air keruh?

FILE PHOTO: A drone view of vessels anchored in the Strait of Hormuz as seen from Musandam, Oman, June 8, 2026. REUTERS/Stringer/File Photo
Iran isytihar Selat Hormuz ditutup susulan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas republik Islam itu pada Ahad. - foto/REUTERS
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi berikutan situasi di Selat Hormuz, ada negara-negara yang meraih keuntungan daripada konflik yang masih berterusan itu.  

Penganalisis Politik dan Hubungan Antarabangsa, Dr. Mohd Mizan Aslam tidak menafikan Arab Saudi juga sedang melaksanakan tindakan untuk mendapat laba ketika Iran masih menjadi sasaran serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

“Sesetengah negara mahu menguasai sumber dan industri minyak dan gas ini sebagai sumber kekayaan, maka ia tidak mustahil untuk berlaku termasuk bagi Arab Saudi. Kita tidak boleh nafi ada gerak kerja oleh Arab Saudi untuk menjadi sebuah kuasa yang dominan. Perkara yang sama boleh dilakukan oleh negara-negara lain,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Tambah Mohd Mizan, keamanan berkekalan di Asia Barat sukar untuk dicapai memandangkan AS masih melihat konflik sebagai industri yang menguntungkan.

“Musuh paling besar bagi AS ialah keamanan. Mereka memang tidak mahu keamanan. Selagi boleh mereka wujudkan perang, konflik dan kematian.  

“Setiap kali ada usaha perdamaian mereka akan bunuh delegasi dan sebagainya. Inilah senario yang kita perlu faham mengenai konflik asia barat,” ujarnya.

Untuk konteks, tentera AS melancarkan gelombang baharu serangan ke atas Iran pada Ahad dalam usaha meningkatkan tekanan terhadap Tehran susulan ketegangan yang terus memuncak di Asia Barat.

Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) memaklumkan, operasi ketenteraan itu dimulakan pada jam 9 malam GMT dengan sasaran untuk terus melemahkan keupayaan Iran melancarkan serangan terhadap kapal-kapal perdagangan yang melalui Selat Hormuz.

Sebagai tindak balas, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata Isnin, pihaknya menyasarkan pangkalan AS di Jordan, Bahrain dan Kuwait sebagai pembalasan terhadap serangan AS ke atas wilayah pesisir pantai Iran. 

Must Watch Video

Advertisement