Siri cip Intel Panther Lake kini rasmi – Akan dihasilkan dengan proses 18A terbaharu

Cip ini hadir dengan 16 teras fizikal, grafik Intel Arc Xe3 Celestial dan cip NPU generasi kelima yang menyokong sehingga 180 AI TOPS. -Foto Amanz
SEJAK pertengahan tahun ini, banyak yang diperkatakan tentang siri cip pemprosesan komputer riba Intel akan datang yang dinamakan Panther Lake.
Ringkasan AI
- Intel memperkenalkan siri cip pemprosesan Panther Lake yang menggabungkan prestasi Arrow Lake-H dan penjimatan kuasa Lunar Lake, dengan teknologi pengilangan 18A milik Intel.
- Cip ini hadir dengan 16 teras fizikal, grafik Intel Arc Xe3 Celestial dan cip NPU generasi kelima yang menyokong sehingga 180 AI TOPS.
- Panther Lake tidak lagi menggunakan memori terbina, membolehkan pembuat komputer riba memilih konfigurasi memori sendiri, dan dijangka mula digunakan pada awal 2026.
Setelah dua generasi cip pemprosesan Intel dibina dengan bantuan pengilangan oleh syarikat pengeluar cip semikonduktor terkemuka Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC), Intel Panther Lake akan dihasilkan menggunakan teknologi pengilangan 18A terbaru Intel.
Intel mengatakan bahawa siri cip pemprosesan Panther Lake akan hadir dengan sebanyak 16 teras fizikal yang terdiri daripada teras Cougar Cove (P-core) dan Darkmont (E-Core) yang menjanjikan kuasa pemprosesan 50 peratus lebih hebat berbanding siri cip pemprosesan Lunar Lake dengan kecekapan penggunaan kuasa bateri yang sama.
Konfigurasi model cip pemprosesan paling berkuasa di dalam siri ini akan kekal berada pada 4 teras P-Core, 8 teras E-Core dan 3 teras Low Power E-Core yang pada mulanya diperkenalkan pada siri cip pemprosesan Lunar Lake sebelum ini.
Dalam pada itu, siri cip pemprosesan ini juga akan digabungkan dengan cip grafik Intel Arc Xe3 “Celestial” yang juga akan hadir dengan 12 teras fizikal yang menjanjikan kuasa pemprosesan grafik 50 peratus lebih hebat berbanding dengan Xe2 “Battlemage”.
Jika kuasa pemprosesan AI juga adalah sesuatu yang penting untuk anda, siri cip Panther Lake akan menggunakan cip NPU generasi kelima, yang menawarkan sehingga 180 AI TOPS melalui seluruh platform. Kemampuan khusus cip NPU tersebut belum diumumkan lagi buat masa ini.
Satu kelebihan siri cip pemprosesan Panther Lake untuk pembuat komputer riba juga ialah tidak seperti Lunar Lake, cip ini tidak lagi akan hadir dengan memori LPDDR5 terbina secara terus kepada cip.
Ini membolehkan pembuat komputer riba untuk memuatkan jumlah memori yang paling optimum untuk penawaran mereka.
Jangkaan kami ialah pembuat komputer riba masih akan menawarkan sekurang-kurangnya 16GB memori LPDDR5/5X terbina khususnya dengan keperluan sesebuah komputer riba untuk memanfaatkan teknologi AI terbaru.
Intel mengatakan bahawa siri cip pemprosesan ini boleh menyokong memori dengan kelajuan sehingga 8533MT/s bergantung kepada jenis memori yang digunakan.
Seperti jangkaan sebelum ini, Intel telah mengesahkan bahawa cip pemprosesan Panther Lake ini akan mula dihantar kepada pembina komputer riba pada penghujung tahun ini, dan pengenalan komputer-komputer riba pertama yang dikuasakan cip pemprosesan ini akan diperkenalkan pada awal tahun hadapan, mungkin sewaktu acara CES 2026 di Las Vegas. -Amanz
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami