SONY menjadualkan acara pelancaran peranti terbaharu pada 13 Mei ini yang dijangka menyaksikan pengenalan telefon pintar mercu, Xperia 1 VIII.
Menerusi hantaran acah yang dikongsikan, syarikat teknologi itu dijangka melakukan perubahan ketara dari segi rekaan menerusi penggunaan modul kamera berbentuk empat segi bagi menempatkan susunan tiga sensor, lapor Amanz.
Rekaan berkenaan dilihat sebagai anjakan daripada model terdahulu yang secara tradisinya mengekalkan susunan sensor kamera secara menegak.
Dari segi spesifikasi, Xperia 1 VIII dijangka dikuasakan oleh cip pemprosesan Snapdragon siri terkini, sekali gus menawarkan prestasi lebih berkuasa bagi kategori peranti premium.
Bagaimanapun, maklumat terperinci berkaitan spesifikasi teknikal lain masih belum didedahkan oleh pihak Sony setakat ini.
Model terbaharu itu dijangka menjadi taruhan utama Sony untuk bersaing dalam pasaran telefon pintar global tahun ini menerusi penawaran teknologi pengimejan serta keupayaan pemprosesan yang dipertingkatkan.