NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Rabu menggesa usaha global yang diselaraskan untuk mewujudkan mekanisme kawalan dan perlindungan bagi kecerdasan buatan (AI), lapor Xinhua.
"Kita memerlukan pemahaman bersama mengenai cara memajukan pembangunan AI yang selamat, terjamin dan bertanggungjawab, sambil mengenal pasti bila sistem yang semakin berkuasa mungkin memerlukan langkah perlindungan lebih ketat atau langkah tambahan untuk menguruskan risiko yang berpotensi," kata Guterres dalam sidang akhbar menjelang minggu peringkat tinggi Perhimpunan Agung PBB tahun ini.
"Ini memerlukan kerjasama antarabangsa yang tulen dan usaha global yang diselaraskan."
Beliau memberi amaran bahawa dunia tidak boleh membiarkan berlakunya kemerosotan tahap keselamatan AI di tengah-tengah perpecahan geopolitik.
"Kita memerlukan mekanisme kawalan untuk membina kepercayaan dan menjadikan AI selamat, telus, serta bertanggungjawab, dengan meletakkan maruah manusia sebagai teras utama. Pada masa dunia menghadapi tiga ancaman kewujudan iaitu kecerdasan buatan yang tidak terkawal, krisis iklim dan jurang ketidaksamaan yang semakin melebar ke tahap yang tidak boleh diterima, kerjasama antarabangsa sangat mustahak ketika ini,” katanya.
Beliau berkata AI mempunyai potensi besar untuk mempercepat pembangunan mampan, meningkatkan pembelajaran, mengukuhkan sistem kesihatan, meningkatkan daya tahan iklim dan banyak lagi.
Namun katanya semakin banyak pihak yang membangunkan teknologi itu mula membunyikan amaran, menyatakan bahawa pembangunan teknologi tersebut bergerak lebih pantas daripada pemahaman mengenai risikonya.
Sesetengah pihak menggesa supaya pembangunan dihentikan seketika. Ramai pula yang menggesa supaya mekanisme kawalan diwujudkan, kata Guterres.
"Kita tidak boleh mengabaikan kebimbangan yang telah dibangkitkan, terutamanya oleh mereka yang berada di barisan hadapan dalam pembangunan AI."
Beliau berkata kerajaan mesti memikul tanggungjawab mereka. Tanggungjawab utama mana-mana kerajaan adalah melindungi rakyatnya, termasuk daripada ancaman AI namun penyelarasan global juga amat penting kerana AI tidak terbatas pada sempadan negara, begitu juga dengan risikonya, jelas beliau.
Langkah menghentikan pembangunan secara sukarela yang bersifat terpencil, tidak dapat disahkan, dan dilaksanakan secara tidak sekata tidak akan menyelesaikan masalah tersebut, tegas Guterres.
"Jika kita percaya bahawa pembangunan AI perlu diperlahankan apabila risiko menjadi terlalu besar, kita memerlukan lebih daripada sekadar niat yang baik."
-- BERNAMA-XINHUA