Skip to main content

Teknologi

Techlympics 2026 perkenal Agentic AI, sasar 1.8 juta penyertaan

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang_Astro AWANI
Chang Lih Kang (tiga dari kiri) berkata, inisiatif yang memasuki edisi kelima itu terus menjadi platform utama negara dalam memupuk minat generasi muda berusia antara enam hingga 30 tahun terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Advertisement

PUTRAJAYA: Malaysia Techlympics 2026 (MT2026) kembali dengan penambahbaikan baharu menerusi penggunaan platform pembelajaran pintar AiRIMAU, sekali gus memperkukuh usaha melahirkan bakat muda dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, inisiatif yang memasuki edisi kelima itu terus menjadi platform utama negara dalam memupuk minat generasi muda berusia antara enam hingga 30 tahun terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menurut beliau, AiRIMAU diperkenalkan bagi membolehkan peserta meneroka teknologi Agentic Artificial Intelligence (Agentic AI) menerusi pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan praktikal.

"Penggunaan platform ini mencerminkan komitmen MOSTI untuk memastikan generasi muda Malaysia mendapat pendedahan awal kepada teknologi masa hadapan serta membina keupayaan memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab, kreatif dan beretika," katanya pada pelancaran video promosi Malaysia Techlympics 2026, di sini, pada Selasa.

Bagi menjayakan penganjuran tahun ini, MOSTI bekerjasama dengan pelbagai kementerian dan jabatan termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), selain agensi kerajaan, rakan industri dan kerajaan negeri.

MOSTI menyasarkan penyertaan seramai 1.8 juta pelajar dan belia sepanjang penganjuran MT2026.

Sebanyak 90 pertandingan melibatkan 182 modul STI ditawarkan tahun ini, meningkat berbanding 93 modul pada edisi 2025.

Antara bidang yang dipertandingkan termasuk tenaga baharu, dron, robotik, kejuruteraan, forensik, percetakan 3D, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, pengkomputeran awan, bioteknologi dan teknologi hijau.

Dalam masa sama, pelbagai program jangkauan keterangkuman turut dilaksanakan di sekolah-sekolah luar bandar terpilih bagi memperkukuh ekosistem pendidikan STEM serta menyemarakkan minat pelajar terhadap bidang STI.

Program itu juga meneruskan komitmen terhadap keterangkuman dengan memberi penekanan kepada penyertaan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Saringan Malaysia Techlympics 2026 peringkat zon akan bermula di Zon Selatan yang berlangsung di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), Johor sebelum diteruskan ke Zon Tengah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Zon Timur di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Zon Timur 2 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Zon Utara di Kulim Hi-Tech Park, Zon Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan berakhir di Zon Sarawak di Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

Siri pertandingan itu akan berlangsung dari Julai hingga September tahun ini.

Sementara itu, acara akhir kebangsaan Malaysia Techlympics 2026 dijadual berlangsung pada November depan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Menurut MOSTI, penganjuran MT2026 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperluas akses masyarakat terhadap ilmu pengetahuan, teknologi dan inovasi, khususnya di kawasan luar bandar.

Usaha berkenaan diharap dapat melahirkan generasi yang berdaya saing, inovatif dan celik teknologi, sekali gus mengukuhkan peranan STI sebagai pemacu kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan membuat pendaftaran menerusi portal rasmi Malaysia Techlympics di www.techlympics.my.

Must Watch Video

Advertisement