BAYAN BARU: Malaysia berpotensi besar dalam memajukan industri teknologi angkasa seiring perkembangan drastik industri tersebut.

Ketua Pegawai Teknologi Angkasa-X, Ir. Norhizam Hamzah berkata, Malaysia perlu merebut limpahan hasil industri tersebut yang dijangka mencecah AS$4 trilion menjelang tahun 2040.

Beliau bagaimanapun berpandangan, pembangunan industri teknologi angkasa di negara ini perlu menggunakan acuannya sendiri.

“Lebih penting bagi kita (Malaysia) untuk mengorak langkah dengan cara kita sendiri yang sesuai dengan keperluan kita dan membentuk satu pasaran khusus di rantau ini atau di pasaran global.

“Kita (Malaysia) mempunyai masalah tersendiri yang tidak sama dengan negara lain, masalah unik kepada negara kita sendiri, cuaca dan pelbagai lagi.

“Jadi apa-apa penyelesaian termasuk industri teknologi angkasa ini perlu dicorakkan dalam menyelesaikan masalah kita,” katanya ketika ditemui Astro AWANI seiring Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia (WCIT) 2022 di Pusat Konvensyen Setia Spice, di sini, hari ini.

Mengulas berkenaan kepakaran industri itu, Norhizam berkata, Malaysia sedang berusaha melahirkan lebih banyak pakar berkaitan industri aeroangkasa dan dalam masa sama memerlukan sejumlah pelaburan yang besar.

Menurutnya, walaupun Malaysia tidak mempunyai kawasan khusus pembangunan industri teknologi angkasa, namun, ia bukan penghalang kepada matlamat merapatkan jurang ekonomi dan digital antara bandar dan luar bandar di negara ini.

Niaga AWANI: WCIT 2022 | Rapatkan jurang ekonomi melalui teknologi angkasa

“Untuk kita mengembangkan aplikasi daripada teknologi angkasa, kita perlu letak satelit di orbit.

“Jadi mewujudkan hab aeroangkasa adalah satu keperluan untuk kita merealisasikan ekonomi angkasa lepas ini iaitu

“Kalau pun kita tidak memiliki hab angkasa atau ‘space port’ di Malaysia, tetapi kita mesti ada kaedah ataupun mekanisme supaya kita mempunyai akses kepada ‘space port’ dengan mudah dan secara kos efektif,” katanya.

Menurut beliau, kawalan pembangunan teknologi roket oleh negara-negara tertentu sedikit sebanyak menjadi cabaran kepada negara yang sedang berusaha membangunkan industri tersebut.