Pembunuhan komander Hamas gugat gencatan senjata Gaza, kata perunding kanan kumpulan

Upacara pengebumian komander kanan Hamas, Raed Saed, dan pembantunya di Bandaraya Gaza. - Foto REUTERS
GAZA: Pembunuhan seorang komander kanan Hamas oleh Israel mengancam kelangsungan perjanjian gencatan senjata di Gaza, kata ketua perunding kumpulan itu, Khalil al-Hayya, pada Ahad sambil menggesa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, agar menuntut Israel mematuhi syarat-syarat perjanjian tersebut.
Ringkasan AI
- Pembunuhan komander kanan Hamas oleh Israel mengancam perjanjian gencatan senjata di Gaza, dengan Khalil al-Hayya menyeru Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk memaksa Israel mematuhi syarat-syarat perjanjian tersebut.
- Ribuan penyokong Hamas berkumpul di Gaza bagi upacara pengebumian Raed Saed, komander kanan Hamas yang terbunuh bersama tiga rakannya dalam serangan udara Israel, merasmikan kematian tokoh Hamas paling berprofil tinggi sejak gencatan senjata dimeterai.
- Meskipun gencatan senjata masih berkuat kuasa, tentera Israel terus mengawal sebahagian Gaza manakala Hamas mengukuhkan kawalan di kawasan yang berpenduduk melebihi dua juta, dengan ketidaksepakatan mengenai langkah seterusnya antara kedua belah pihak.
Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung, Khalil yang kini hidup dalam buangan, mengesahkan kematian Saed, pembunuhan paling berprofil tinggi terhadap tokoh Hamas sejak gencatan senjata dimeterai.
“Pelanggaran berterusan oleh Israel terhadap perjanjian gencatan senjata... dan pembunuhan terkini yang menyasarkan Saed serta yang lain mengancam kelangsungan perjanjian ini,” katanya.
“Kami menyeru para perantara, khususnya penjamin utama iaitu pentadbiran AS dan Presiden Donald Trump, agar mendesak Israel supaya menghormati dan mematuhi gencatan senjata ini.”
Sayap bersenjata Hamas kemudian mengumumkan bahawa pengganti Raed telah dilantik.
Raed sebelum ini bertanggungjawab terhadap “pembuatan ketenteraan”.
Kumpulan itu menegaskan bahawa pembunuhan tersebut tidak akan menghalang mereka daripada meneruskan “jalan Jihad”.
Separuh Gaza Di Bawah Kawalan Israel
Menurut sumber Hamas, Raed merupakan orang kedua paling kanan dalam sayap bersenjata kumpulan itu selepas Izzeldeen Al-Hadad.
Israel pula menyatakan bahawa Raed adalah antara perancang utama serangan 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang.
Sejak pembunuhan ketua Hamas, Yehya Al-Sinwar, oleh Israel pada 2024, kumpulan itu belum menamakan pengganti rasmi.
Sebaliknya, kepimpinan kini diterajui oleh majlis lima anggota kanan, termasuk Khalil.
Walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa, tentera Israel terus menguasai bahagian timur Gaza yang kini hampir kosong, manakala Hamas mengukuhkan semula kawalannya di bahagian barat yang menempatkan lebih dua juta penduduk.
Kedua-dua pihak masih belum mencapai kata sepakat mengenai langkah seterusnya.
Israel menuntut Hamas melucutkan senjata dan dilarang menyertai sebarang pentadbiran masa depan Gaza.
Hamas pula menolak untuk menyerahkan senjata dan menuntut pengunduran penuh tentera Israel.
Perjanjian gencatan senjata turut menyeru penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa yang diberi kuasa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Khalil mencadangkan agar pasukan itu hanya dikerahkan di sempadan Gaza, bukan di dalam wilayah tersebut.
Menurut pegawai AS, Komando Pusat Tentera Amerika Syarikat (CENTCOM) akan menganjurkan persidangan bersama negara-negara rakan di Doha pada 16 Disember bagi merangka pelaksanaan pasukan penstabilan tersebut.
Pegawai Keselamatan Hamas Ditembak Mati
Dalam satu lagi insiden di Gaza Tengah, seorang pegawai kanan keselamatan dalaman Hamas, Ahmed Zamzam, ditembak mati oleh lelaki bersenjata.
Kementerian Dalam Negeri Gaza menyifatkan serangan itu sebagai tindakan “kolaborator yang bertindak atas arahan Israel” dan mengesahkan seorang suspek telah ditahan.
Ghassan Duhine, ketua kumpulan anti-Hamas, Pasukan Popular, yang berpangkalan di kawasan Gaza yang masih diduduki Israel, mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu dan menyifatkannya sebagai “balas dendam yang adil”.
Hamas menuduh kumpulan Duhine dan lain-lain yang beroperasi di kawasan dikuasai Israel sebagai pengkhianat.
Namun, kumpulan-kumpulan tersebut menafikan dakwaan itu dan menyalahkan Hamas atas kehancuran Gaza.
Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas butiran kejadian pembunuhan Zamzam. Tentera Israel enggan mengulas.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

