Skip to main content

Teknologi

Xbox berdepan tekanan kewangan, CEO beri amaran penstrukturan semula

Sejak mengambil alih tugas sebagai CEO Xbox, Asha Sharma melakukan beberapa keputusan popular seperti langganan Game Pass dikurangkan, mengembalikan permainan eksklusif Xbox dan menetapkan hala tuju baharu konsol Microsoft. Beberapa hari selepas mengumumkan pelbagai permainan baharu di Xbox Showcase, beliau kini mengumumkan berita buruk yang perlu didengari kakitangan.
Laporan kewangan menunjukkan margin keuntungan fiskal Xbox tahun ini hanya sekitar tiga peratus, meskipun Microsoft membelanjakan kira-kira AS$20 bilion (kira-kira RM81 bilion) bagi pengambilalihan studio permainan dalam tempoh lima tahun lalu. -Foto Amanz

LOS ANGELES: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Xbox Asha Sharma mengesahkan divisyen permainan video Microsoft itu kini berdepan tekanan kewangan susulan kemerosotan pendapatan dan margin keuntungan yang rendah.

Menerusi memo dalaman kepada kakitangan, Sharma menyifatkan keadaan semasa Xbox sebagai bermasalah, berpunca daripada pelaburan tidak berhasil serta strategi pasaran yang tidak konsisten, lapor Amanz.

Beliau berkata struktur operasi sedia ada tidak lagi mampan, sekali gus memberi bayangan kemungkinan langkah penstrukturan semula termasuk pengurangan tenaga kerja.

Laporan kewangan menunjukkan margin keuntungan fiskal Xbox tahun ini hanya sekitar tiga peratus, meskipun Microsoft membelanjakan kira-kira AS$20 bilion (kira-kira RM81 bilion) bagi pengambilalihan studio permainan dalam tempoh lima tahun lalu.

Angka tersebut tidak termasuk pemerolehan Activision Blizzard King bernilai AS$69 bilion (kira-kira RM279 bilion).

Walaupun pelaburan besar dilakukan, pendapatan tahunan divisyen itu dilaporkan menyusut hampir AS$500 juta (kira-kira RM2 bilion) dalam tempoh sama.

Tekanan kewangan dijangka berterusan susulan peningkatan kos pembuatan konsol, sebahagiannya berpunca daripada kekurangan bekalan memori capaian rawak (RAM) global.

Menurut Sharma, ekosistem studio Xbox kini terlalu besar dan kompleks, namun tidak disokong pembiayaan mencukupi untuk kekal kompetitif dalam jangka panjang.

Perkembangan ini mencerminkan cabaran lebih luas dalam industri permainan video global, termasuk peningkatan kos pembangunan, tempoh penghasilan permainan yang panjang serta perbelanjaan pengguna yang semakin terhad.

Beberapa pesaing utama seperti Sony dan Ubisoft sebelum ini turut mengambil langkah penstrukturan termasuk penutupan studio dan pengurangan tenaga kerja.

 

Must Watch Video

Advertisement