KUALA LUMPUR: Polis akan menyegerakan siasatan terhadap tiga aktivis yang dipercayai terbabit dalam insiden mengganggu program dihadiri Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Selasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata ketiga-tiga individu itu disiasat atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam, hasutan serta pencerobohan.
Advertisement
"Kita membuka siasatan atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam, hasutan dan pencerobohan.
"Kita akan cuba melengkapkan siasatan dalam kadar segera sebelum dirujuk kepada pihak pendakwa raya.
"Setakat ini, lebih dua laporan polis diterima berhubung insiden ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini pada Rabu.
Terdahulu, mahkamah membenarkan perintah tahanan reman selama tiga hari ke atas ketiga-tiga suspek bermula Rabu.
Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186, Seksyen 447 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Tiga aktivis itu dipercayai bertindak mengangkat plakad bertulis ‘Tangkap Azam Baki’ ketika Ketua Pesuruhjaya SPRM itu sedang menyampaikan ucapan perasmian Wacana Ilmiah Perdana kira-kira pukul 2.45 petang.