Skip to main content

Hiburan

Luar biasa peminat Pradeep Kumar di Malaysia, saya sendiri terkejut - Mustafa

aakar foundation
Pradeep Kumar bakal menghiburkan peminat menerusi konsert Pudhu Vidha Anubavam di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Sabtu. - Gambar Aakaar Foundation
Advertisement

KUALA LUMPUR: "Saya sendiri terkejut. Orang penuh sampai kawasan KLCC, dah tak boleh nak masuk." 

Itulah gambaran dikongsikan bekas pengarah muzik Orkestra Simfoni Kebangsaan, Datuk Mustafa Fuzer Nawi ketika mengimbau pengalaman pertama berkolaborasi dengan penyanyi popular India, Pradeep Kumar, yang disifatkannya menerima sambutan luar biasa daripada peminat di Malaysia.

Menurut Mustafa, fenomena itu membuka matanya mengenai pengaruh besar dimiliki penyanyi berkenaan sehingga setiap konsert yang dijayakan mereka berjaya menghimpunkan ribuan penonton.

Malah, katanya, kolaborasi yang bermula pada 2022 itu bukan sekadar menemukan dua figura muzik dari negara berbeza, sebaliknya menjadi platform menghubungkan pemuzik Malaysia dengan sebuah produksi bertaraf antarabangsa.

"Ini kali keempat kami bekerjasama dan setiap kali persembahan, saiz orkestra semakin besar. Kali ini adalah yang terbesar pernah kami tampilkan.

"Saya bangga kerana kolaborasi ini bukan sahaja memberi pengalaman berbeza kepada penonton, malah membuka ruang kepada pemuzik tempatan untuk berkongsi pentas dengan artis bertaraf antarabangsa.

 

Image
aakar foundation

"Kali ini membabitkan 46 penggiat seni persembahan dan menjadi konsert artis India pertama di Malaysia yang berkolaborasi dengan orkestra tempatan terdiri daripada 24 pemuzik.

"Ia sekali gus menghasilkan pengalaman muzik rentas budaya yang cukup unik," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Mustafa berkata, barisan orkestra yang menjayakan konsert itu terdiri daripada pemuzik muda berbakat, dengan sebahagian daripada mereka masih melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD), manakala ada juga yang bakal menyambung pengajian dalam bidang muzik di luar negara. 

Sementara itu, Pradeep mengakui keterujaannya untuk kembali mengadakan persembahan di Malaysia buat kali keempat, selain menyifatkan kerjasama bersama Mustafa dan barisan pemuzik tempatan sebagai antara pengalaman paling bermakna sepanjang karier seninya. 

Katanya, setiap kali tampil di Malaysia, lagu-lagunya diberikan nafas baharu menerusi susunan muzik berbeza, malah persembahan kali ini dijangka lebih istimewa dengan pembabitan kuartet alat tiupan kayu (woodwind), kuartet bras serta formasi orkestra yang lebih besar. 

 

Image
aakar foundation

"Saya sentiasa teruja bekerjasama dengan pemuzik daripada negara dan budaya berbeza kerana saya suka melihat bagaimana muzik saya diterjemahkan melalui perspektif mereka. 

"Sejak kolaborasi pertama pada 2022, setiap persembahan di Malaysia mempunyai identiti tersendiri. Penonton sudah mendengar lagu-lagu saya dalam pelbagai versi, tetapi kali ini kami menghasilkan warna bunyi yang benar-benar berbeza. 

"Saya percaya ia akan menjadi malam yang sangat istimewa, bukan sahaja untuk kami yang berada di atas pentas, malah buat semua penonton yang hadir menikmati persembahan," katanya. 

Dalam pada itu, Pemegang Amanah Aakaar Foundation, Mathavan Muniandy berkata, penganjuran konsert itu bukan sekadar membawa artis antarabangsa ke Malaysia, sebaliknya menjadi platform menghubungkan pemuzik luar negara dengan bakat tempatan. 

 

Image
aakar foundation

Menurutnya, konsert Pudhu Vidha Anubavam menandakan kolaborasi kali keempat pihaknya bersama penyanyi, komposer dan penerbit terkenal India, Pradeep Kumar, sejak kerjasama itu bermula beberapa tahun lalu. 

"Setiap konsert yang kami anjurkan menjadi jambatan antara artis antarabangsa dan pemuzik tempatan. Dari awal lagi, kami memberi ruang kepada pemuzik Malaysia untuk bersama-sama menjayakan persembahan ini. 

Pradeep Kumar bakal menghiburkan peminat menerusi konsert Pudhu Vidha Anubavam di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam esok. 

 

Image
aakar foundation

Konsert yang dijadual berlangsung pada pukul 7.30 malam itu dibawakan Aakaar Foundation dengan kerjasama Roots Entertainment. 

Pradeep yang terkenal dalam industri perfileman Tamil, memulakan kerjaya sebagai pemuzik muzik Karnatik sebelum mencipta nama sebagai antara penyanyi latar paling berpengaruh di India menerusi deretan lagu hit. 

Sejak ditubuhkan pada 2019, Aakaar Foundation aktif menganjurkan pelbagai persembahan seni yang menggabungkan elemen muzik, teater dan penceritaan, selain membawa artis antarabangsa ke Malaysia bagi mempromosikan pertukaran budaya menerusi seni persembahan. 

Aakaar Foundation diterajui pengasas bersama Krithika Prabhakar dan Vinothkumar Subramaniam dengan sokongan Mathavan Muniandy selaku pemegang amanah serta Kannan Subramaniam sebagai pengarah projek.

Must Watch Video

Advertisement