SELAYANG: RM100 sehari. Itu antara kadar sewaan motosikal yang dipercayai dibayar warga asing kepada pemilik tempatan bagi membolehkan mereka menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan termasuk menjual roti dan mengutip besi buruk.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, hasil siasatan mendapati kadar sewaan itu ditentukan menerusi persetujuan antara pemilik kenderaan dan warga asing.
Katanya, warga asing terbabit dipercayai menyewa motosikal bagi menjalankan aktiviti mencari rezeki sebelum menjual hasil kutipan di pusat pengumpulan.
"Ada pelbagai cara mereka mendapatkan kenderaan. Antaranya menyewa daripada pemilik tempatan untuk menjalankan perniagaan seperti menjual roti atau mengutip besi buruk sebelum dijual di pusat pengumpulan.
"Kadar sewaan pula bergantung kepada rundingan antara pemilik dan penyewa. Ada yang mengenakan bayaran sehingga RM100 sehari," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa) yang dijalankan secara bersepadu bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di sekitar Selayang, di sini pada Rabu.
Ahmad Kamarunzaman berkata, JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang jalan raya, termasuk pemilik kenderaan yang membenarkan warga asing memandu tanpa lesen memandu atau dokumen perjalanan yang sah.
Katanya, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap kedua-dua pihak kerana pemilik kenderaan juga bertanggungjawab memastikan kenderaan mereka tidak digunakan oleh individu yang tidak layak memandu.
Mengulas kemungkinan wujud sindiket penyewaan kenderaan kepada warga asing, beliau berkata, setakat ini JPJ belum dapat mengesahkannya, namun siasatan masih diteruskan.
"Bagaimanapun, ada kes membabitkan seorang pemilik yang mempunyai sehingga tiga kenderaan yang digunakan oleh warga asing," katanya.
Dalam operasi yang bermula seawal pukul 6.30 pagi itu, JPJ memeriksa 126 kenderaan, dengan 34 daripadanya disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kenderaan yang disita membabitkan 11 motosikal roda tiga, 12 motosikal, enam kereta persendirian dan lima motolori.
Operasi itu turut mengesan pelbagai kesalahan lain termasuk memandu tanpa lesen, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, pemalsuan dokumen serta pengubahsuaian kenderaan secara tidak sah.
Semua kenderaan yang disita akan ditahan sehingga proses pendakwaan di mahkamah selesai dan tiada sebarang tawaran kompaun diberikan.