Skip to main content

Berita

PTPK wajar distruktur semula sebagai geran bersyarat

Ganes_SGC
Menurut P Sri Ganes, YMM dan komuniti penyedia latihan kemahiran menyokong penuh cadangan KESUMA berkenaan, dengan pendekatan geran bersyarat dilihat sebagai mekanisme yang sesuai untuk dilaksanakan. - Gambar SGC
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) wajar distruktur semula sebagai geran bersyarat, kata Presiden Yayasan Mahir Malaysia (YMM), Datuk P Sri Ganes.

Bagaimanapun, ujar beliau, pembiayaan itu boleh dihapus kira sepenuhnya selepas pelatih memperoleh pensijilan serta merekodkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama 12 bulan secara konsisten.

Menurutnya, YMM dan komuniti penyedia latihan kemahiran menyokong penuh cadangan KESUMA untuk menstruktur semula pembiayaan PTPK daripada pinjaman kepada geran, dengan pendekatan geran bersyarat dilihat sebagai mekanisme yang sesuai untuk dilaksanakan.

"Menerusi pendekatan itu, pembiayaan hanya boleh dituntut semula sekiranya pelatih gagal menamatkan latihan, sekali gus memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar komited memperoleh kemahiran.

“Selain itu, pelaksanaan secara berperingkat mengikut sektor kritikal seperti teknologi hijau, kenderaan elektrik (EV), mekatronik, keselamatan siber dan ekonomi penjagaan perlu dilaksanakan bagi mengehadkan pendedahan fiskal pada peringkat awal," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Selasa.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, berkata, KESUMA sedang mendapatkan pandangan daripada kementerian berkaitan berhubung cadangan untuk menstruktur semula pembiayaan PTPK daripada pinjaman kepada geran, sebelum dibawa kepada Kabinet untuk pertimbangan.

Menurut Ramanan, inisiatif itu bertujuan meringankan beban kewangan pelajar program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selepas tamat pengajian

Sri Ganes menegaskan, cadangan berkenaan sesungguhnya tidak memerlukan peruntukan tambahan.

Sebaliknya kata beliau, RM100 juta yang sama akan disalurkan sama ada dalam bentuk pinjaman atau geran, dengan perbezaannya hanya terletak pada syarat yang dikenakan terhadap pelatih.

"Sejak ditubuhkan, PTPK menyalurkan kira-kira RM2.2 bilion kepada lebih 400,000 pelatih, namun tunggakan termasuk moratorium berterusan menyebabkan kadar pemulihan pinjaman tidak mencapai sasaran.

Mengulas lanjut, Sri Ganes berkata, syarat kelayakan pembiayaan PTPK dilihat tidak selari dengan instrumen pinjaman yang digunakan.

"Misalnya, pembiayaan PTPK disasarkan kepada isi rumah berpendapatan tidak melebihi RM5,000 sebulan.

"Kita memilih golongan daripada keluarga berpendapatan rendah yang sememangnya mempunyai kemampuan terhad untuk membayar balik, namun pada masa sama mereka diberikan pembiayaan dalam bentuk hutang.

"Kelemahan bukan pada peminjam, sebaliknya instrumen pembiayaan yang digunakan," tambahnya.

Dalam pada itu, Sri Ganes berkata, YMM dan komuniti penyedia latihan kemahiran sedia mengambil tanggungjawab terhadap mekanisme kawalan pelaksanaan.

"Ia termasuk menetapkan siling yuran mengikut tahap  Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), pengagihan dana berdasarkan kehadiran dan pentaksiran serta kelayakan yang berpandukan Penarafan Bintang Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

"Sekiranya negara melabur dalam pelatih kami, kami wajib menunjukkan pulangan," katanya.

Menurut Sri Ganes, pulangan kepada perbendaharaan negara melalui pendekatan berkenaan boleh dilihat menerusi peningkatan kutipan cukai pendapatan, caruman KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), selain pengurangan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing

 

Must Watch Video

Advertisement