KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) diarahkan dibubar sementara oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berkuat kuasa hari ini selepas didapati gagal mengemukakan beberapa maklumat penting sebagaimana diarahkan sebelum ini.
Menurut perintah rasmi di bawah Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966, ROS mendapati MTUC tidak mematuhi arahan bertulis bertarikh 6 April lalu, khususnya berkaitan penyerahan penyata kewangan dan kunci kira-kira yang diaudit.
Selain itu kongres tersebut turut tidak melampirkan maklumat penerimaan dana atau manfaat daripada pihak luar negara bagi tempoh antara 2020 hingga 2025.
“Sehubungan itu, ROS memerintahkan supaya pendaftaran MTUC dibubarkan secara sementara bermula 7 Mei 2026, sementara menunggu sebarang rayuan atau keputusan lanjut,” menurut kenyataan itu lagi.
Selain itu ROS turut memaklumkan, sekiranya tiada rayuan dikemukakan dalam tempoh 30 hari atau rayuan ditolak, pembubaran sementara ini akan menjadi muktamad dan MTUC akan dianggap sebagai pertubuhan menyalahi undang-undang.
Mengikut peruntukan undang-undang, mana-mana individu yang terus menguruskan pertubuhan yang telah dibatalkan pendaftarannya boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM15,000, atau kedua-duanya sekali.
MTUC bagaimanapun boleh mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.