Skip to main content

Malaysia

Keunikan tradisi makan besar lambang perpaduan Malaysia

IPOH, 16 Feb -- Jurugambar agensi tempatan, Alan Teh, 65 (tiga,kanan) bersama rakannya Abdul Razak Mohammad Shohib 43 (dua,kanan) dan Kumaran Rajamoney 41 (dua,kiri) menggaul Yee Sang pada sesi makan besar sempena malam Tahun Baharu Cina di sebuah restoran di Greentown malam ini.  Turut sama Isterinya, Alan Teh dan (tiga,kiri) dan kedua anaknya, Teh Mun Yee (kiri) dan Teh Kuan Yee (kanan)  Sebagai acara wajib setiap tahun tradisi itu bukan sekadar menikmati hidangan, sebaliknya menjadi simbol penyatuan apab

KUALA LUMPUR: Tradisi makan besar sempena sambutan Tahun Baharu Cina di seluruh negara terus menjadi simbol perpaduan kaum di Malaysia, apabila meja hidangan kini bukan sahaja meraikan warisan leluhur tetapi juga kepelbagaian cita rasa rakyatnya.

Keunikan budaya berkenaan yang diamalkan sejak sekian lama, membuktikan bahawa perbezaan latar belakang dan agama bukanlah penghalang bagi setiap keluarga untuk terus menghidupkan tradisi, sekali gus memperkukuh ikatan silaturahim dalam suasana muhibah yang harmoni.

Advertisement

Di IBU NEGARA, Nur Liyana Abdullah, 66, atau nama asalnya Lee Kim Bee berkongsi rasa syukur kerana majlis makan besar keluarganya bukan sekadar penyajian juadah tradisi Cina, malah turut menampilkan elemen masakan Melayu dan India.

“Saya mahu ada sedikit kelainan. Mereka (adik-beradik) setiap hari sudah biasa makan masakan Cina. Jadi apabila dapat masakan Melayu mereka sangat menikmati sebab jarang dapat, lagi-lagi kami dibesarkan di kampung estet, jadi sambal petai memang menjadi kegemaran," katanya yang sudah lebih 30 tahun memeluk Islam.

Nur Liyana berkata kakaknya tiba sehari lebih awal di rumah keluarga mereka untuk menyediakan hidangan tradisi seperti nán rǔ cū zhāi (sup sayur) dan ayam kukus halia, manakala Nur Liyana pula mengambil peranan menyediakan hidangan silang budaya seperti sambal udang petai, rendang ayam serta masakan India termasuk wade dan kacang kuda berempah untuk dinikmati seluruh keluarga.

Sementara itu di NEGERI SEMBILAN, walaupun rata-rata kedai makan dan restoran Cina dipenuhi pengunjung, masih ada yang memilih untuk berkumpul di rumah bersama ahli keluarga untuk jamuan makan besar bagi menyambut Tahun Kuda itu.

Pekerja swasta Jenny Tan, 38, berkata dia dan ahli keluarga memilih untuk menyediakan juadah sendiri dan makan di rumah bersama dua lagi adik beradiknya.

“Tahun lepas kami makan di restoran tetapi pada kali ini saya dan emak sepakat untuk masak bersama. Selain merapatkan hubungan keluarga, kami juga berharap juadah yang kami masak itu dapat mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak," katanya yang bekerja di ibu negara dan pulang beraya bersama keluarganya di Rasah, Seremban.

Di PERAK, jurugambar sebuah agensi berita tempatan, Alan Teh, 65, menyifatkan makan besar pada malam Tahun Baharu Cina sebagai acara wajib dan perlu dihadiri oleh ahli keluarga terdekat di kediamannya di Taman Timah, Ipoh.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata tradisi itu bukan sekadar menikmati hidangan, sebaliknya menjadi simbol penyatuan apabila semua ahli keluarga berkumpul semeja untuk berkongsi cerita serta mengeratkan hubungan.

“Keluarga saya kecil sahaja. Jadi kami menyambutnya secara sederhana, namun saya akan pastikan dua anak saya Teh Mun Yee, 31, dan Teh Kuan Yee, 27, pulang ke rumah untuk acara ini. Hidangan seperti ayam, ikan dan sayur merupakan menu wajib yang mesti ada sebagai pelengkap makan besar kami pada setiap tahun,” katanya.

Di KEDAH, Tan Siew Eng, 62, dari Simpang Empat, Alor Setar berkata tradisi makan besar kali ini lebih bermakna dengan kepulangan cucu perempuannya yang berusia setahun serta anak lelaki dan menantunya yang kini menetap di Sydney, Australia.

“Tahun lepas anak dan menantu sambut Tahun Baharu Cina di luar negara tetapi tahun ini mereka balik beraya bersama kami. Lebih menggembirakan lagi apabila saya dapat berjumpa dengan cucu buat kali pertama dan sambutan tahun ini memang sangat bermakna,” katanya.

Situasi serupa turut dirasai di TERENGGANU apabila acara makan besar bagi keluarga Toh Ping Ping, 45, dari Taman Sri Manir, Kuala Terengganu tahun ini lebih bermakna dengan kepulangan abangnya Toh Kai Wen, 50, dari Australia.

Ping Ping berkata setelah hampir 25 tahun tinggal di negara Kanggaru, abang sulungnya itu akhirnya mengambil keputusan untuk pulang menetap di Kuala Lumpur bersama isteri dan dua anak lelaki dan sebagai meraikan kepulangan ahli keluarga tercinta, ibunya bukan sahaja menyediakan hidangan tradisi Cina seperti yee sang dan itik salai, malah menempah hidangan nasi minyak yang menjadi kegemaran abangnya.

Sementara itu, di PULAU PINANG suasana di kediaman penduduk dan restoran sekitar bandar raya ini mula meriah dengan persiapan hidangan istimewa seperti yee sang, ayam, itik panggang, ikan kukus serta pelbagai juadah tradisi lain yang membawa maksud kemakmuran dan rezeki melimpah ruah.

Bagi seorang jurutera di sebuah kilang di Batu Kawan, Jennifer Ling, 32, makan besar adalah detik paling dinanti setiap tahun kerana ia menghimpunkan seluruh ahli keluarga, termasuk yang pulang dari luar negara.

“Walaupun ada adik beradik sibuk bekerja di Kuala Lumpur, Johor dan Singapura, mereka tetap berusaha pulang untuk makan besar. Inilah masa untuk kami duduk semeja, berkongsi cerita dan mengeratkan hubungan kekeluargaan dan meraikan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Di SIBU, seorang pengurus akademi memandu, Tiong Sie Kiong, 40-an nekad membuat perubahan dengan mengadakan upacara makan besar di sebuah hotel terkemuka di bandar ini.

“Sejak saya lahir lagi upacara makan besar bagi keluarga kami diadakan di rumah sahaja secara sederhana tetapi meriah. Sejak 10 tahun lepas saya ambil alih tanggungjawab mengadakan makan besar di rumah saya pula di Jalan Ding Lik Kong.

“Pada tahun ini, kebetulan pihak sebuah hotel terkemuka di bandar ini telah memberi tawaran istimewa kepada saya untuk mengadakan tradisi makan besar ini. Persiapan kebanyakan dilakukan pihak hotel, tidak ketinggalan menu wajib iaitu yee sang atau juga dikenali yusheng atau lou sang,” katanya.

Sementara itu di SABAH, sambutan makan malam besar sempena Tahun Baharu Cina terus menjadi tradisi penting dalam kalangan masyarakat Tionghua sebagai simbol penyatuan keluarga yang berkumpul setahun sekali sebelum menjelangnya perayaan tersebut.

Timbalan Setiausaha Dewan Perniagaan Tionghua Sabah dan Labuan Weal Cheoh berkata makan malam besar atau ‘reunion dinner’ membawa makna mendalam kerana ia menghimpunkan ahli keluarga dari pelbagai lokasi untuk menikmati hidangan bersama.

Di PERLIS, walaupun ibu bapanya telah meninggal dunia, semangat kekeluargaan terus menjadi tunjang sambutan Tahun Baharu Cina bagi Kang Terry, 45, yang berasal dari Pauh, Arau untuk makan besar bersama adik-beradiknya.

Kang yang tinggal bersama kakaknya berkata biarpun abang dan dua adik perempuannya bekerja dan menetap jauh dari Perlis, mereka akan memastikan tidak terlepas untuk berkumpul setiap tahun bagi meneruskan acara makan besar itu.

Kang berkata makan besar yang diadakan kira-kira 7.30 malam itu menjadi detik paling dinanti-nantikan kerana ia bukan sekadar menikmati hidangan bersama, tetapi juga mengeratkan hubungan kekeluargaan yang diuji dengan komitmen kerja dan jarak tempat tinggal.

Di MELAKA, sambutan tradisi makan besar bersama keluarga di rumah terus dikekalkan oleh Kew Li Wen, 33, sebagai cara mensyukuri hubungan kekeluargaan.

Kew yang menetap di Banda Hilir berkata keluarganya lebih memilih untuk makan besar di rumah berbanding restoran kerana lebih selesa memandangkan semua ahli keluarga akan sama-sama menolong ibunya memasak pelbagai jenis juadah.

"Walaupun ringkas, ia memberi kegembiraan luar biasa kepada kami sekeluarga kerana jika makan di restoran, rasa dan suasananya sangat berbeza," katanya.

Di PAHANG, tradisi ‘tuan yuan’ atau makan besar bersama semua ahli keluarga pada malam sebelum perayaan Tahun Baharu Cina, menjadi detik penting bagi keluarga Foo Pei Sun.

Usahawan wanita berusia 38 tahun itu berkata antara menu wajib yang dihidangkan setiap kali acara makan besar itu ialah ‘sang choi’ yang melambangkan kemakmuran dan rezeki melimpah-ruah pada tahun baharu.

Di SELANGOR hampir 1,110 masyarakat Teochew berhimpun meraikan acara makan besar yang bukan sahaja disambut dengan meriah tetapi juga menjadi platform menyatukan semula komuniti serta mengeratkan hubungan silaturahim bersama masyarakat.

Naib Presiden Persatuan Gabungan Teochew Kebangsaan Datuk Seri Teh Meng Huat berkata sambutan tersebut bukan sekadar perayaan tahunan sebaliknya detik penting untuk memperkukuh hubungan kekeluargaan, menghargai jasa orang tua serta menyemai harapan baru.

“Majlis ini sudah berlangsung selama 14 tahun dan tujuannya ialah untuk berjumpa dan berkenalan antara satu sama lain terutama golongan warga emas yang terpisah akibat arus pemodenan teknologi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Besar Anjuran Persatuan Teochew Pantai Klang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pandamaran A hari ini.

-- BERNAMA

 

TAG: makan besar, Tahun Baharu Cina, perpaduan, warisan, silaturahim

Must Watch Video