KUALA TERENGGANU: Bukan sekadar menyedikan pembiayaan motosikal namun AEON Credit juga komited dan prihatin dalam aspek keselamatan terutamanya melibatkan penunggang motosikal.
Menyedari kepentingan itu syarikat berkenaan tampil melaksanakan program pertukaran topi keledar sempena sambutan 30 tahun AEON Credit.
Ketua Kumpulan Pemasaran AEON Credit, Sharon Lee berkata program yang julung kali dianjurkan itu bagi menghargai para pelanggannya yang sentiasa memberikan kepercayaan kepada syarikat berkenaan.
Katanya ia juga bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kepentingan menggunakan topi keledar yang selamat dan menepati piawaian keselamatan.
“Program ini sekaligus mencerminkan komitmen AEON Credit untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam komuniti motosikal di mana kami bukan sekadar sebuah syarikat yang menyediakan pembiayaan motosikal tetapi kami juga prihatin dengan keperluan keselamatan pelanggan.
"Jadi melalui program seperti ini kami berharap ia dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penggunaan topi keledar yang menepati piawaian ini," katanya selepas Program Pertukaran Topi Keledar di Kuala Terengganu.
Sementara itu masyarakat Terengganu menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan syarikat berkenaan tidak melepaskan peluang menukar topi keledar secara percuma.
Menurut Wan Mohd Ramzi Wan Jaafar, 32 program seperti ini adalah platform terbaik bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan penunggang motosikal tentang keperluan menggunakan topi keledar mengikut spesifikasi keselamatan yang ditetapkan.
Wan Mohd Ramzi yang bekerja sebagai penghantar makan berkata setiap hari dia akan menunggang motosikal untuk menghantar pesanan dan pemakaian topi keledar yang menepati piawaian antara elemen keselamatan yang penting dan ia mampu berfungsi sebagai pelindung.
"Apabila mengetahui program ini saya tidak melepaskan peluang untuk menukar topi keledar yang telah lama digunakan dan untuk membeli topi keledar baru ia akan memakan kos jadi peluang terhidang ini saya tidak siakan," katanya.
Dalam pada itu penyampai radio ERA Haziq dan Der berkata inisiatif dan usaha seperti dilaksanakan ini perlu kerap dilakukan bagi membolehkan penungang motosikal mendapatkan perlindungan yang bagus.
Jelas mereka lagi, ia secara tidak langsung dapat membantu dan memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan topi keledar yang berkualiti sekaligus menjamin keselamatan mereka di atas jalan raya.
“Topi keledar yang diagihkan AEON Credit dan Era ini adalah topi keledar yang berkualiti meskipun ada di antara mereka datang membawa topi keledar yang rosak namun mereka tetap dapat menukar dan mendapatkan yang baru,” jelas Haziq dan Der.
Program pertukaran topi keledar anjuran Aeon Credit itu telah dilaksanakan bermula 31 Ogos lalu di Kuala Lumpur diikuti Pahang dan Terengganu sebelum diperluaskan ke Kelantan, Sabah dan Sarawak.