SYDNEY: Hampir separuh kes demensia berpotensi dicegah sekiranya faktor risiko yang boleh diubah ditangani lebih awal termasuk aktiviti fizikal, merokok, tahap pendidikan rendah dan pengasingan sosial.
Perkara itu didedahkan dalam kajian baharu yang diketuai penyelidik Australia, menurut Xinhua.
Dalam kajian itu, penyelidik memantau hampir 500,000 orang dewasa selama lebih 10 tahun dan mendapati individu yang mempunyai kekuatan otot rendah serta lebihan lemak badan berdepan risiko demensia lebih tinggi.
Menurut kenyataan Universiti Curtin Australia pada Khamis, keadaan itu dikenali sebagai "sarcopenic obesity", iaitu gabungan antara kelemahan otot dan lebihan lemak badan.
Pasukan penyelidik yang diketuai Curtin berkata obesiti semata-mata tidak semestinya meningkatkan risiko demensia jika kekuatan otot seseorang masih dapat dikekalkan.
Dapatan itu menunjukkan kesihatan otot dan komposisi tubuh memainkan peranan penting dalam usaha mencegah demensia.
“Sehingga 45 peratus kes demensia dikaitkan dengan faktor boleh ubah yang boleh kita tangani seperti gaya hidup, tahap kesihatan dan persekitaran,” kata penulis kajian, Profesor Mario Siervo dari Sekolah Kesihatan Populasi Curtin.
Penulis bersama kajian itu, Profesor Blossom Stephan dari Universiti Curtin berkata masih ramai yang menyangka demensia ialah sebahagian daripada proses penuaan yang tidak dapat dielakkan.
Namun, beliau berkata perubahan gaya hidup sering sukar dilakukan kerana kekangan masa, kos dan motivasi.
Menurut tinjauan pasukan itu terhadap program pencegahan demensia di lapan negara termasuk Australia, China dan Amerika Syarikat (AS), kempen kesedaran berskala besar mampu menjangkau ramai orang, namun biasanya hanya memberi kesan sederhana terhadap pengetahuan dan perubahan tingkah laku.
Tinjauan yang diterbitkan dalam “The Lancet Healthy Longevity” itu mendapati pendekatan lebih interaktif lebih berkesan untuk menggalakkan orang ramai mengambil tindakan.
Ia termasuk penilaian risiko secara peribadi, program pendidikan dalam talian serta inisiatif komuniti yang dipimpin oleh tokoh tempatan yang dipercayai.
-- BERNAMA-XINHUA