SYDNEY: Suatu kajian jangka panjang di Australia mendapati bahawa tinggal di kawasan kejiranan dengan litupan kanopi pokok mungkin membantu melindungi warga emas daripada kemurungan, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan pada Isnin oleh Sydney Centre for Healthy Brain Ageing (CHeBA) di University of New South Wales, Australia, hasil kajian yang diterbitkan dalam Journal of Affective Disorders itu mengetengahkan potensi peranan perancangan bandar dalam menyokong penuaan yang sihat serta kesejahteraan mental.
Kajian berkenaan diterajui CHeBA dengan kerjasama Australian Catholic University, memantau lebih 1,000 warga emas Australia yang berusia antara 70 hingga 90 tahun untuk tempoh 12 tahun dan mendapati, mereka yang tinggal di kawasan dengan litupan kanopi pokok yang lebih luas mengalami kurang simptom kemurungan sepanjang tempoh tersebut.
Penyelidik mengkaji bagaimana ciri-ciri kawasan kejiranan - termasuk litupan kanopi pokok, kawasan taman, akses kepada laut, sungai dan tasik, akses kepada kemudahan serta pencemaran udara - berkaitan dengan perubahan dalam gejala kemurungan.
Kajian tersebut menyatakan bahawa pendedahan jangka panjang yang lebih tinggi kepada litupan teduhan pokok secara konsisten dikaitkan dengan tahap kemurungan yang lebih rendah, sambil menambah bahawa kemurungan menjejaskan hampir seorang daripada setiap lima orang dewasa yang berumur lebih 60 tahun di seluruh dunia.
Kajian itu mendapati hanya terdapat sedikit bukti yang menunjukkan bahawa ciri-ciri kejiranan lain termasuk kawasan taman, kawasan perairan (ruang biru), akses kepada perkhidmatan atau pendedahan jangka panjang kepada tahap pencemaran udara yang rendah, memberikan kesan konsisten terhadap gejala kemurungan setelah mengambil kira faktor-faktor persekitaran yang lain.
-- BERNAMA-XINHUA