KUALA LUMPUR: Isu obesiti di Malaysia semakin memerlukan perhatian serius apabila lebih separuh daripada dua orang dewasa di negara ini kini hidup dengan berat badan berlebihan atau obesiti.
Situasi membimbangkan itu berpaksikan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang turut meletakkan Malaysia antara negara dengan kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara.
Advertisement
Keadaan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan individu, malah turut memberi tekanan kepada institusi keluarga, sistem penjagaan kesihatan serta produktiviti jangka panjang negara.
Bersempena Hari Obesiti Sedunia dan Hari Wanita Antarabangsa, Novo Nordisk Pharma (Malaysia) menghimpunkan profesional penjagaan kesihatan, pemimpin korporat serta individu yang hidup dengan obesiti dalam satu perbincangan khas bagi menilai semula pendekatan negara dalam memahami dan menangani penyakit kronik itu.
Mengangkat tema Wanita dalam Kepimpinan dan Kesihatan, perbincangan berkenaan menekankan kepentingan kesaksamaan, kepimpinan serta reformasi sistemik bagi menyokong wanita, khususnya dalam usaha meningkatkan hasil kesihatan mereka yang berdepan cabaran berat badan berlebihan atau obesiti.
Pengurus Besar Novo Nordisk Malaysia, Dr Praful Chakkarwar, berkata wanita yang hidup dengan obesiti di Malaysia sering berdepan cabaran kesihatan lebih kompleks selain berhadapan stigma sosial yang boleh menjejaskan akses kepada rawatan.
“Di Malaysia, wanita yang hidup dengan berat badan berlebihan atau obesiti sering berdepan dengan beban yang tidak seimbang, bukan sahaja dari segi hasil kesihatan, malah juga terkesan oleh stereotaip sosial yang berterusan, yang mengaitkan berat badan dengan tahap disiplin, penampilan fizikal atau kegagalan peribadi.
“Naratif sedemikian boleh melambatkan proses diagnosis, mengehadkan akses kepada rawatan yang bersesuaian, serta menyumbang kepada stigma dalam persekitaran penjagaan kesihatan, baik tempat kerja mahupun dalam kehidupan seharian.
“Di Novo Nordisk, kami komited untuk menyokong usaha yang mempertingkatkan pemahaman masyarakat, mengurangkan stigma, serta memperkukuh penjagaan obesiti yang bertanggungjawab dan berasaskan bukti di Malaysia,” katanya menerusi sebuah kenyataan media.
Sementara itu, Presiden Persatuan Obesiti Malaysia (MYOS) dan Pakar Runding Kanan Endokrinologi, Profesor Dr Rohana Abdul Ghani, menegaskan obesiti perlu ditangani sebagai penyakit kronik yang memerlukan sokongan kolektif daripada pelbagai pihak.
“Menurut penyelidikan, sebanyak 45 peratus individu yang hidup dengan berat badan berlebihan atau obesiti terus berdepan dengan cabaran berkaitan dengan berat badan secara berterusan, dengan hampir separuh daripada mereka merasakan diri dikawal oleh keadaan berat badan mereka.
“Malah, 57 peratus kembali kepada tabiat pemakanan terdahulu walaupun telah berusaha secara konsisten untuk mengekalkan perubahan tersebut.
“Dapatan ini menegaskan bahawa obesiti bukanlah kegagalan dari segi keazaman atau disiplin diri, sebaliknya merupakan suatu keadaan kronik yang menuntut pendekatan penjagaan secara kolektif, persekitaran yang menyokong, serta tanggungjawab bersama oleh keluarga, tempat kerja, sistem penjagaan kesihatan dan masyarakat secara keseluruhan,” jelasnya.
Dalam konteks tempat kerja, Pengarah Penjenamaan, Pemasaran dan Kemampanan di Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), Shireen Kandiah, berkata sokongan terhadap kesihatan wanita perlu menjadi sebahagian daripada budaya kepimpinan organisasi.
“Menyokong wanita untuk mencapai dan mengekalkan kesihatan yang lebih baik, termasuk berat badan yang sihat, tidak seharusnya dilihat sebagai isu pinggiran di tempat kerja.
“Sokongan ini merupakan satu keputusan kepimpinan yang membentuk budaya organisasi, membina keyakinan dan memacu daya tahan organisasi serta pembangunan bakat dalam jangka panjang,” ujarnya.
Pada masa sama, Ketua Pegawai Sumner Manusia Kumpulan IHH Healthcare, Sharon Foo, menekankan pelaburan dalam sokongan kesihatan wanita mampu memberi kesan yang lebih luas kepada masyarakat.
“Seruan global sempena Hari Obesiti Sedunia mengingatkan kita bahawa terdapat 8 bilion alasan untuk bertindak.
“Apabila kita melabur dalam infrastruktur yang tepat serta akses kepada sokongan kesihatan wanita, dengan menyediakan sumber, masa dan persekitaran sokongan yang diperlukan olehnya, kita bukan sekadar membantu seorang individu, malah kita sedang mewujudkan kesan berantai,” tambahnya.
Cef selebriti dan aktivis kesihatan Ili Sulaiman berkata perjalanan menguruskan berat badan sering melibatkan cabaran emosi yang memerlukan sokongan berterusan.
“Mengambil langkah pertama untuk menguruskan berat badan bukan sekadar satu keputusan peribadi, bahkan keputusan itu merupakan satu perjalanan emosi.
“Hakikatnya, dikelilingi oleh sistem sokongan yang tepat, sama ada rakan sekerja, sahabat, keluarga mahupun profesional kesihatan memberikan makna yang amat besar.
“Apabila sokongan wujud, kemajuan menjadi lebih mampan, kegagalan terasa kurang mematahkan semangat dan pengurusan berat badan berubah daripada perjuangan bersendirian kepada komitmen bersama ke arah kesihatan yang lebih baik,” katanya.
Sempena Hari Wanita Antarabangsa dan Hari Obesiti Sedunia, Novo Nordisk turut menyeru lebih ramai rakyat Malaysia untuk memperkasa suara wanita, menggunakan bahasa yang tidak mencetuskan stigma serta mencabar stereotaip lapuk dalam perbincangan berkaitan obesiti.
Daripada terus melihat obesiti sebagai tanggungjawab individu semata-mata, Novo Nordisk menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan rakan strategik merentas pelbagai sektor bagi memajukan kesaksamaan kesihatan, memangkin kesedaran komuniti serta membina masa depan yang memberi peluang untuk wanita dan seluruh rakyat Malaysia menikmati hasil kesihatan lebih baik tanpa sebarang stigma.