Skip to main content

Malaysia

Pengguna disaran teliti status regulatori produk, jangan terpedaya dakwaan 'semula jadi'

Keselamatan sesuatu produk perlu dinilai berdasarkan formulasi sebenar, tujuan penggunaan serta tahap dan tempoh pendedahan kepada produk berkenaan. - Gambar hiasan
Keselamatan sesuatu produk perlu dinilai berdasarkan formulasi sebenar, tujuan penggunaan serta tahap dan tempoh pendedahan kepada produk berkenaan. - Gambar hiasan

Advertisement

Advertisement

KUCHING: Pengguna tidak seharusnya menganggap kosmetik, suplemen kesihatan atau ubat tradisional adalah selamat hanya kerana produk itu dipasarkan sebagai "semula jadi" atau mempunyai sejarah penggunaan turun-temurun, kata ahli toksikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Siew Ee Ling.

Beliau berkata meskipun ilmu turun-temurun memberikan pandangan yang berguna, keselamatan sesuatu produk perlu dinilai berdasarkan formulasi sebenar, tujuan penggunaan serta tahap dan tempoh pendedahan kepada produk berkenaan.

"Istilah 'semula jadi' merujuk kepada asal usul sesuatu ramuan. Namun, istilah itu tidak dengan sendirinya membuktikan ketulenan atau keselamatan sesuatu produk berdasarkan cara penggunaannya.

Advertisement

"Bahan berasaskan tumbuhan boleh berbeza mengikut spesies dan bahagian yang digunakan termasuk kaedah pengekstrakan dan kepekatannya. Sesetengah bahan boleh menyebabkan tindak balas alahan, manakala pencemaran oleh logam berat, sisa racun perosak atau mikroorganisma berbahaya juga boleh berlaku," katanya kepada Bernama.

Mengulangi mesej “Don’t Guess, Test” (Jangan Agak-Agak, Uji Dahulu) yang dikongsikannya pada satu webinar tentang keselamatan produk baru-baru ini, Siew menggesa pengguna dan pengeluar supaya membezakan dakwaan pemasaran yang meyakinkan daripada bukti saintifik.

Advertisement

Beliau berkata semua bahan, termasuk air dan ekstrak tumbuhan, terdiri daripada bahan kimia, maka pelabelan seperti "bebas bahan kimia" tidak memberikan sebarang jaminan keselamatan dari sudut saintifik.

"Penilaian keselamatan yang tidak mencukupi menyebabkan berlakunya jurang bukti, sekali gus berpotensi mengakibatkan pemekaan alahan, kerengsaan kulit dan ketoksikan sistemik, selain meningkatkan risiko kepada golongan rentan seperti kanak-kanak dan wanita hamil," katanya.

Mengulas mengenai perdagangan digital, Siew, yang juga Pengarah Makmal Bioserasi ALAF-UKM, mengingatkan bahawa ketersediaan produk secara dalam talian atau penghantaran dari luar negara tidak menjamin keselamatan atau pengesahan bebas terhadap produk berkenaan, sekali gus menjadikan kebolehkesanan produk amat penting.

"Pengguna perlu melihat lebih sekadar dakwaan mutlak seperti '100 peratus selamat' atau 'tiada kesan sampingan', sebaliknya mereka perlu menyemak maklumat ramuan jelas, pengenalan nombor kelompok yang sah serta akauntabiliti syarikat yang boleh disahkan dan bukannya bergantung pada sokongan pempengaruh," katanya.

Beliau berkata pengguna juga boleh menyemak status produk menerusi sistem carian rasmi Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA), selain menjelaskan bahawa ubat-ubatan dan suplemen kesihatan perlu didaftarkan, manakala kosmetik tertakluk pada sistem notifikasi dalam talian.

Dari sudut industri, Siew menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerapkan perancangan keselamatan berasaskan risiko sejak peringkat awal penyelidikan dan pembangunan bagi mengelakkan kos tinggi akibat penggubalan semula produk pada peringkat akhir.

"Penilaian awal dapat mengenal pasti ramuan yang tidak sesuai atau jurang bukti sebelum pengeluaran diperluas, sekali gus membantu mengurangkan keperluan penggubalan semula dan ujian berulang yang boleh dielakkan.

"Keselamatan perlu menjadi sebahagian daripada inovasi yang bertanggungjawab sejak awal, bukannya perkara yang difikirkan kemudian," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement