KUALA LUMPUR: Strok tidak semestinya menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri, lumpuh atau tidak mampu bercakap.
Pakar Perubatan Kecemasan di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr Aaron Lai Kuo Huo berkata seseorang yang mengalami strok mungkin masih sedar, boleh berjalan dan bercakap, dan mempunyai gejala awal yang tidak begitu jelas tetapi membimbangkan.
Beliau berkata gejala awal ini termasuk kebas atau lemah secara tiba-tiba pada sebelah badan, mula sukar mencari perkataan ketika bercakap, hilang keseimbangan atau perubahan penglihatan.
“Ramai beranggapan strok akan menunjukkan tanda yang ketara, tetapi keadaan sebenar tidak semestinya begitu. Apabila gejala yang dialami kelihatan ringan, ada yang memilih untuk menunggu dan melihat sama ada keadaan akan pulih dengan sendiri.
“Namun, tindakan ini menipiskan peluang untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan tepat pada masanya,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Aaron berkata gejala strok juga boleh hilang selepas beberapa minit mungkin menandakan serangan iskemia sementara (TIA), atau dikenali sebagai strok mini dan tidak seharusnya diabaikan serta perlu mendapatkan pemeriksaan perubatan dengan segera.
Beliau mengesyorkan penggunaan panduan BE FAST untuk mengenal pasti tanda-tanda strok, iaitu Balance (kehilangan keseimbangan atau koordinasi secara tiba-tiba), Eyes (perubahan penglihatan secara tiba-tiba), Face (muka menjadi senget), Arms (lemah atau kebas pada lengan), Speech (kesukaran bercakap atau memahami percakapan) dan Time (masa untuk mendapatkan pertolongan kecemasan segera).
Bagaimanapun, Dr Aaron menegaskan bahawa seseorang tidak perlu menunjukkan kesemua gejala dalam panduan BE FAST sebelum mendapatkan bantuan.
“Seorang pesakit strok mungkin masih boleh berjalan atau bercakap, menyebabkan keadaan ini sering terlepas pandang.
“Jika disyaki strok, ahli keluarga perlu menghubungi ambulans, dan jika boleh tidak membawa pesakit sendiri ke hospital,” katanya.
Beliau berkata petugas perubatan boleh memantau keadaan pesakit sepanjang perjalanan dan memaklumkan pihak hospital lebih awal supaya persediaan untuk rawatan segera dapat dilakukan.
Sementara itu, Pakar Bedah Saraf dan Tulang Belakang SMC, Dr Lim Swee San berkata, masih ramai yang ambil mudah akan cabaran yang dihadapi pesakit selepas strok.
“Ahli keluarga sering menilai pemulihan berdasarkan sama ada seseorang itu boleh berjalan semula. Hakikatnya, strok juga boleh menjejaskan pertuturan, ingatan, tumpuan, dan kesejahteraan emosi.
“Kesan ini mungkin tidak begitu ketara pada pandangan orang lain, tetapi boleh memberi kesan besar kepada kehidupan harian, pekerjaan dan tahap berdikari,” katanya.
Beliau berkata penilaian dan perancangan pemulihan perlu dimulakan pada peringkat awal, dan kejayaannya tidak seharusnya diukur dengan membandingkan kemajuan seseorang pesakit dengan pesakit yang lain.
“Sebaliknya, ia dinilai berdasarkan matlamat individu dan keupayaan mereka untuk menjalani kehidupan harian secara berdikari,” katanya.
Dr Lim turut mengingatkan pesakit strok dan penjaga bahawa rawatan susulan, pengambilan ubat mengikut arahan doktor serta pengurusan faktor risiko seperti tekanan darah tinggi, diabetes, paras kolesterol tinggi dan tabiat merokok masih penting, walaupun selepas keluar dari hospital.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kategori strok yang direkodkan tanpa jenis iskemik atau hemoragik yang khusus menyumbang 2.6 peratus daripada kematian yang disahkan secara perubatan pada 2024, menjadikannya punca kematian keenam utama di Malaysia.
-- BERNAMA