Skip to main content

Malaysia

Usahawan wanita Malaysia takluk Kem Pangkalan Everest selepas sembilan hari pendakian

 Gunung Everest, Thamayathi Thevy
Kem Pangkalan Everest merupakan lokasi utama persediaan bagi pendaki yang berhasrat menawan puncak tertinggi dunia setinggi 8,848 meter itu.

KUALA LUMPUR: Minat terhadap kecergasan membawa seorang usahawan wanita tempatan mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya menawan Kem Pangkalan Everest selepas menempuh sembilan hari pendakian yang mencabar di banjaran Himalaya.

Menurut Thamayanthi Thevy Thiagrajan, 47, berkata ekspedisi ke altitud 5,364 meter dari paras laut itu menguji ketahanan fizikal, disiplin serta kekuatan mental susulan keadaan muka bumi dan cuaca yang tidak menentu sepanjang perjalanan.

Advertisement

Menurutnya, ekspedisi berkenaan merentasi laluan pergunungan serta perkampungan di Himalaya dengan cabaran hujan, salji dan panas yang berubah dalam tempoh singkat.

“Ini pengalaman pertama saya ke sana bersama kumpulan pengembaraan seramai 10 orang, namun beberapa peserta tidak dapat menamatkan pendakian disebabkan masalah kesihatan.

“Kami mendaki kira-kira tujuh jam setiap hari dan cabaran utama ialah suhu dingin serta kandungan oksigen yang semakin berkurangan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI. 

Jelasnya keadaan itu menuntut setiap langkah dilakukan dengan fokus tinggi dan kawalan rapi sepanjang ekspedisi.

“Saya tahu ia sukar, tetapi saya sudah bersedia dari awal,” katanya.

Bagi menghadapi cabaran itu, ibu kepada seorang anak itu menjalani latihan kecergasan berbulan-bulan termasuk latihan mendaki secara konsisten bagi meningkatkan daya tahan serta menyesuaikan diri dengan persekitaran altitud tinggi.

Kesungguhan itu akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya menjejakkan kaki ke Kem Pangkalan Everest, yang disifatkannya sebagai detik luar biasa dan cukup bermakna.

“Semua kerja keras itu berbaloi apabila saya melihat Gunung Everest buat pertama kali,” katanya.

Kem Pangkalan Everest merupakan lokasi utama persediaan bagi pendaki yang berhasrat menawan puncak tertinggi dunia setinggi 8,848 meter dan kekal menjadi antara destinasi ikonik buat pendaki dari seluruh dunia.

Must Watch Video