Skip to main content

Gaya Hidup

Angin Main Teri: Apabila tradisi, tubuh dan ingatan bernafas di pentas kontemporari

Teater angin main teri
Angin Main Teri mengambil gagasan “angin” sebagai salah satu asas dramaturginya untuk meneroka persoalan tentang tubuh, ingatan, warisan dan identiti melalui pengalaman seorang lelaki muda bernama Awang.
Advertisement

KUALA LUMPUR: APAKAH yang berlaku apabila sebuah tradisi yang lahir daripada pengalaman ritual dan komuniti diterjemahkan ke dalam bahasa teater kontemporari.

Persoalan itu menjadi titik tolak kepada Angin Main Teri, sebuah karya teater tradisional kontemporari imersif tulisan dan arahan Zahari Hamzah, yang diinspirasikan kisah benar daripada tradisi Main Teri di Pantai Timur Malaysia.

Diterbitkan oleh Benzarie Legacy dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan, serta sokongan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) 2026), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), karya ini tidak bertujuan menghasilkan semula Main Teri dalam bentuk asalnya.

Sebaliknya, Angin Main Teri mengambil gagasan “angin” sebagai salah satu asas dramaturginya untuk meneroka persoalan tentang tubuh, ingatan, warisan dan identiti melalui pengalaman seorang lelaki muda bernama Awang.

Awang: tubuh yang menyimpan ingatan

Awang berdepan insomnia, ledakan emosi, gangguan suara dan kehilangan identiti secara beransur-ansur. 

Namun, konflik yang dialaminya berkembang melampaui persoalan fizikal apabila sejarah keluarganya mula mempengaruhi pengalaman dirinya.

Daripada sebelah bapanya hadir figura Panglima dan dunia persilatan, manakala jalur keturunan yang lain membawa unsur Mak Yong. 

Pertembungan warisan tersebut menjadi sebahagian daripada konflik yang dialami Awang, menjadikan tubuhnya medan pertemuan antara masa lalu dan masa kini.

Bagi Awang Lim, yang membawa watak utama itu, proses menghidupkan Awang merupakan pengalaman yang mencabar kerana watak tersebut memerlukan pembinaan dari dalam, bukan sekadar melalui dialog dan ekspresi luaran.

“Watak ini sangat berbeza daripada watak yang pernah saya bawakan sebelum ini. Ia memerlukan saya memahami bukan sahaja dialog dan emosi, tetapi juga bagaimana tubuh Awang bertindak balas terhadap tekanan, gangguan dan pengalaman yang dia lalui.”

Image
 teater Angin Main Teri
Pendekatan karya turut diperkukuh melalui kolaborasi antara penggiat seni, pengamal tradisi dan seniman daripada latar yang berbeza.

Menurutnya, proses latihan turut melibatkan perbincangan yang berterusan bersama Zahari Hamzah untuk memahami siapa sebenarnya Awang dan keadaan dalaman yang sedang dilaluinya.

Daripada proses tersebut, mereka mencari bahasa tubuh dan emosi yang sesuai untuk memastikan perjalanan watak dapat dirasai oleh penonton.

Cabaran utama bagi Awang Lim ialah mengekalkan perubahan emosi watak secara konsisten  daripada keadaan tenang dan keliru kepada marah serta kehilangan kawalan sambil memenuhi tuntutan fizikal persembahan.

Pergerakan tubuh perlu bergerak seiring dengan muzik, bunyi dan elemen tradisional dalam ruang persembahan yang imersif.

“Saya tidak cuba meniru bentuk tradisi secara literal. Sebaliknya, saya cuba memahami prinsip dan tenaga yang ada dalam tradisi tersebut, kemudian menggunakannya untuk membina watak dan suasana.”

Pengalaman tersebut memperlihatkan bagaimana tubuh pelakon menjadi sebahagian daripada bahasa dramaturgi karya. 

Dalam Angin Main Teri, sesuatu yang sukar diterangkan melalui dialog diterjemahkan melalui pergerakan, suara, ritma dan perubahan tenaga tubuh.

Berdialog dengan tradisi

Walaupun berasaskan Main Teri, Angin Main Teri tidak mendakwa dirinya sebagai persembahan Main Teri tradisional.

Karya ini mengambil beberapa prinsip yang berkaitan dengan bahasa persembahan tradisi termasuk hubungan muzik dan pergerakan, vokaliti, pengulangan, transformasi serta hubungan antara pelaku dan penonton - sebelum diterjemahkan ke dalam bentuk teater kontemporari.

Bagi Zahari, pendekatan tersebut penting supaya tradisi tidak sekadar dipindahkan ke pentas sebagai unsur estetik, tetapi menjadi sumber pemikiran untuk penciptaan karya baharu.

Maka, Angin Main Teri berada dalam ruang pertemuan antara pengetahuan tradisional dan eksperimentasi kontemporari. Ia juga membuka persoalan tentang bagaimana warisan dapat terus difahami oleh generasi baharu tanpa menafikan konteks asalnya.

Sebahagian pengetahuan tradisional bersifat lisan dan embodied, hidup melalui suara, gerak, muzik, ingatan serta proses pemindahan ilmu antara generasi.

Dalam konteks itu, teater boleh menjadi salah satu ruang untuk mencetuskan kembali rasa ingin tahu terhadap tradisi.

Konsep imersif dalam karya ini turut memainkan peranan penting dalam membentuk pengalaman penonton. 

Ia bukan sekadar soal kedudukan penonton, tetapi usaha mengubah hubungan antara penonton dengan ruang persembahan.

Tubuh, muzik, bunyi, cahaya, pergerakan dan reka bentuk ruang digunakan untuk membina suasana yang membawa penonton lebih dekat kepada perjalanan Awang. 

Pendekatan ini memberikan ruang kepada penonton untuk mengalami persembahan secara lebih sensorial, dengan perhatian terhadap bunyi, jarak, pergerakan dan kehadiran fizikal pelakon.

Dalam erti kata lain, ruang tidak lagi menjadi latar semata-mata, tetapi turut berfungsi sebagai sebahagian daripada bahasa penceritaan.

Warisan yang terus bergerak

Di sebalik perjalanan Awang terdapat persoalan yang lebih luas tentang hubungan manusia dengan sesuatu yang diwarisi. Apakah yang kita bawa daripada generasi terdahulu? 

Apakah yang hilang apabila hubungan dengan warisan semakin jauh? Dan bolehkah sesuatu yang lama terus mempunyai makna dalam kehidupan masa kini?

Persoalan ini selari dengan gagasan karya bahawa pemeliharaan warisan tidak semestinya bermaksud mengekalkannya dalam bentuk yang statik. 

Sebaliknya, generasi baharu juga perlu mempunyai peluang untuk mengenali dan mendekatinya melalui pengalaman yang relevan dengan zaman mereka.

Angin Main Teri tidak menetapkan bahawa penonton perlu keluar dari panggung dengan pemahaman lengkap tentang Main Teri. 

Sebaliknya, karya ini mengharapkan satu perkara yang lebih sederhana rasa ingin tahu.

Mungkin penonton yang tidak pernah mengenali Main Teri akan terdorong untuk bertanya lebih lanjut tentang tradisi tersebut selepas meninggalkan panggung.

Pertemuan pelbagai disiplin

Pendekatan karya turut diperkukuh melalui kolaborasi antara penggiat seni, pengamal tradisi dan seniman daripada latar yang berbeza.

Antara tenaga kreatif yang terlibat ialah Syafiq Syazim sebagai Pengarah Artistik, Izzat Fazil sebagai Pengarah Muzik, Hazlami Harun sebagai Koreografer dan Ain Rahman bagi instalasi seni serta reka bentuk set.

Gabungan ini membolehkan unsur muzik, gerak, visual dan ruang bergerak sebagai satu kesatuan dalam membina dunia persembahan.

Pada akhirnya, Angin Main Teri bukan sekadar percubaan untuk membawa tradisi ke pentas kontemporari.

Ia adalah usaha untuk membuka ruang perbualan tentang apa yang kita warisi, apa yang kita ingat dan apa yang masih hidup dalam tubuh kita.

Perjalanan Awang menjadi pintu masuk kepada persoalan tersebut.

Dan bagi penonton, pengalaman itu mungkin tidak berakhir apabila lampu pentas dipadamkan.

Kerana selepas angin berlalu, mungkin yang tinggal ialah satu persoalan:

Apakah yang telah kita lupakan?

Image
 teater Angin Main Teri
Pertembungan warisan menjadi sebahagian daripada konflik yang dialami Awang, menjadikan tubuhnya medan pertemuan antara masa lalu dan masa kini.

 

Must Watch Video

Advertisement