KUALA LUMPUR: Jangan sesekali cuba-cuba terapi yang dikenali sebagai ‘tidur enam saat’ kerana ia boleh mendatangkan risiko serius kepada kesihatan, sekali gus berpotensi membawa maut, begitu pesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dalam maklum balas kepada MyCheck Malaysia, KKM menegaskan “tidur” yang diperkatakan itu bukanlah tidur yang sebenar, sebaliknya ia melibatkan tekanan fizikal pada bahagian leher sehingga menyebabkan individu terlibat pengsan akibat kekurangan oksigen ke otak.
Advertisement
“Prosedur sedemikian boleh mengakibatkan komplikasi perubatan yang signifikan termasuklah pengsan mengejut, strok, kecederaan arteri karotid, gangguan irama jantung (aritmia), hipoksia serebrum, kecederaan otak kekal, sawan, selain risiko kematian.
“Setakat ini, tiada asas saintifik atau bukti perubatan yang menyokong keberkesanan kaedah tersebut yang menggunakan tekanan pada bahagian leher sehingga menyebabkan kehilangan kesedaran secara sementara,” kata KKM kepada MyCheck Malaysia.
MyCheck Malaysia merupakan inisiatif semakan fakta yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi membanteras penyebaran maklumat palsu.
Ini termasuklah terapi ‘tidur enam saat’ yang didakwa oleh “perawat” bahawa kaedah itu mampu mengeset semula pusat otak dan melegakan tekanan serta membuang unsur negatif di dalam badan.
Terapi Tidak Diiktiraf
Kalau dilihat pada video-video tular, kelihatan individu yang menjalani prosedur berkenaan seperti ‘ditidurkan’ atau dipengsankan seketika, setelah “perawat” menekan di bahagian tertentu seperti di leher, bahu atau tengkuk.
Namun setelah tubuh individu itu terkulai dan mata tertutup untuk beberapa saat, individu yang “dirawat” itu kemudiannya tersedar semula dalam keadaan terkejut, menggelupur dan terpinga-pinga.
Menurut KKM, dalam istilah perubatan, fenomena ini dikenali sebagai induced convulsive syncope, iaitu sejenis pengsan yang disertai pergerakan menyerupai sawan akibat gangguan bekalan oksigen ke otak secara tiba-tiba.
KKM juga menegaskan bahawa terapi yang tular di media sosial itu tidak diiktiraf oleh mana-mana badan perubatan atau kesihatan, termasuklah kementerian itu sendiri serta fraterniti perubatan.
Malah, ia bukan bidang amalan yang diiktiraf di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) 2016 (Akta 775), serta tidak tergolong dalam mana-mana kaedah perubatan moden mahupun amalan perubatan tradisional yang diiktiraf.
“Berdasarkan penilaian klinikal dan perspektif perubatan berasaskan bukti, tindakan ini bukanlah suatu intervensi terapeutik atau rawatan kesihatan yang sah.
“Ia sebaliknya merupakan satu bentuk tindakan fizikal berisiko tinggi yang berpotensi mendatangkan kemudaratan serius kepada individu terlibat... memandangkan amalan ini tidak dikawal selia di bawah Akta 775, tiada garis panduan khusus yang dibangunkan,” kata KKM.
Kebimbangan Promosi Terapi di Media Sosial
KKM berkata kaedah itu mencetuskan kebimbangan yang amat serius memandangkan ia dipromosikan secara meluas di media sosial dan platform digital yang secara terang mudah diakses oleh orang ramai.
Ini berpotensi mendorong orang ramai untuk mendapatkan rawatan tanpa kefahaman risiko sebenar.
Menurut KKM, amalan itu melanggar prinsip non-maleficence (tidak memudaratkan pesakit) dan informed consent yang menyebabkan pesakit terpedaya untuk percaya keadaan pengsan sebagai “tidur”.
Keadaan ini bukan sahaja membahayakan pesakit, malah memanipulasi kepercayaan orang ramai terhadap amalan penjagaan kesihatan yang sepatutnya selamat dan berkesan.
“Justeru, amalan tersebut tidak selamat dan menimbulkan ancaman keselamatan kesihatan awam, tidak disokong bukti saintifik dan wajar dielakkan demi keselamatan.
“Oleh itu, adalah penting untuk orang awam agar hanya mendapatkan perkhidmatan perubatan yang terbukti berkesan daripada pengamal perubatan berdaftar, termasuk juga untuk rawatan PT&K dalam bidang amalan diiktiraf daripada pengamal PT&K berdaftar,” tambah KKM.
Tidak Disokong Sains Perubatan
Tetapi mengapa mereka yang menjalani terapi itu mendakwa tubuh badan mereka berasa lebih segar dan berasakan seolah-olah sudah tidur lena dalam tempoh masa panjang?
Platform advokasi kesihatan Public Health Malaysia (PHM) menjelaskan bahawa rasa lega atau ringan yang dirasai selepas kejadian tersebut hanyalah kesan sementara daripada tindak balas kecemasan badan.
“Bila otak kekurangan oksigen, badan terus aktifkan sistem kecemasan. Hormon seperti adrenaline, noradrenaline, serta lonjakan dopamine dan endorphin dilepaskan untuk menyelamatkan otak.
“Ini boleh mencetuskan rasa lega, ringan, atau euforia sementara. Hakikatnya, ia adalah reaksi badan selepas hampir berdepan bahaya,” menurut PHM.
PHM menyifatkan kelegaan tersebut umpama orang yang hampir lemas tetapi berjaya bernafas semula, yang mungkin terasa sangat melegakan, namun pengalaman hampir lemas itu sendiri tetap berbahaya.
“Istilah tidur enam saat ini biasanya digunakan untuk perbuatan menekan bahu, tengkuk atau leher seseorang sehingga individu itu pitam sekejap, kemudian sedar semula... Ia sering dianggap sebagai gurauan, cabaran, atau kononnya satu bentuk “terapi”.
“Tetapi dalam perubatan, ini bukan prosedur rawatan dan bukan teknik yang selamat… otak tidak mempunyai simpanan oksigen, aliran darah mesti berterusan setiap saat… risikonya tidak kecil dan tidak boleh diramal” kata PHM.
Kata PHM, kaedah terapi tersebut boleh menyebabkan jantung terhenti secara mengejut, yang mana risikonya lebih tinggi pada individu yang mempunyai masalah jantung atau saluran darah yang tidak disedari.
-- BERNAMA