KITA biasa melihat perlawanan bola sepak antara dua pasukan, yang biasanya akan membabitkan 11 pemain bagi setiap pasukan.

Ini menjadikan 22 orang pemain berada di atas padang, dalam satu masa.

Tetapi apa akan jadi apabila bola sepak dimainkan 100 orang pemain?

Itu yang terjadi di Jepun dalam satu perlawanan unik antara satu pasukan membabitkan 100 orang pemain kanak-kanak, termasuk 10 penjaga gol, menentang pasukan dewasa yang hanya terdiri daripada tiga orang pemain!

Perlawanan sedemikian merupakan satu tradisi di negara matahari terbit itu, setiap kali tahun baru menjelma.

Setiap tahun, tiga pemain dari pasukan kebangsaan Jepun akan dipilih untuk menentang sepasukan 100 orang pemain kanak-kanak.

Tahun ini, tiga pemain kebangsaan yang terpilih ialah Hotaru Yamaguchi, Hiroshi Kiyotake dan Yosuke Ideguchi.

Biarpun di atas kertas perlawanan nampak tidak adil, namun kalau sudah namanya pemain profesional, tiada yang mustahil.

Ideguchi berjaya menjaringkan gol kemenangan menerusi satu tandukan, yang agak tinggi untuk ditepis oleh barisan penjaga gol cilik yang memenuhi kawasan gol.