GAYA HIDUP
15.6 peratus orang dewasa hidap diabetes, ramai tak sedar

Rakyat Malaysia yang menghidap diabetes berisiko tinggi untuk komplikasi seperti penyakit jantung iskemik, strok, retinopati, penyakit buah pinggang, kaki diabetes dan kerosakan saraf. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kira-kira 15.6 peratus dewasa di Malaysia atau satu daripada setiap enam orang menghidap diabetes dan amat membimbangkan apabila dua daripada lima mereka tidak menyedari menghidap penyakit itu.
Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Noraryana Hassan berkata, dapatan dilaporkan dalam Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 itu juga menunjukkan trend membimbangkan, iaitu 84 peratus golongan muda berusia 18 hingga 29 tahun tidak menyedari mereka menghidap diabetes.
Beliau menekankan keperluan mendesak untuk memulakan saringan diabetes pada peringkat usia muda bagi mencegah komplikasi dan mengurangkan risiko kematian pramatang dalam kalangan individu muda.
"Memandangkan semakin ramai rakyat Malaysia didiagnosis dengan diabetes dan komplikasinya, kita mesti terus mencegah permulaan penyakit ini, dan pada masa sama, melengahkan atau melewatkan komplikasi penyakit itu," katanya di Persidangan Diabetes Malaysia 2025, di sini, pada Jumaat.Teks ucapan beliau dibacakan Pemangku Timbalan Pengarah (Penyakit Tidak Berjangkit) Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Nik Khairol Reza Md Yazin.
Dr Noraryana berkata, rakyat Malaysia yang menghidap diabetes berisiko tinggi untuk komplikasi seperti penyakit jantung iskemik, strok, retinopati, penyakit buah pinggang, kaki diabetes dan kerosakan saraf.
"Komplikasi ini mengurangkan kualiti kehidupan apabila berlaku kerosakan organ seperti buta, amputasi, kegagalan jantung, strok dengan kebergantungan penuh, mati pucuk dan kerosakan buah pinggang peringkat akhir yang memerlukan terapi penggantian buah pinggang," katanya.
Berhubung persidangan anjuran Diabetes Malaysia itu, beliau percaya ia akan memberi ilmu baharu dan memperkasakan pihak berkepentingan berkaitan, terutamanya pada peringkat penjagaan primer.
Beliau memaklumkan, penjagaan primer memainkan peranan penting dalam saringan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, namun beban kerja mereka kini beralih kepada merawat diabetes dan komplikasi penyakit itu.
"Paling penting dalam penjagaan diabetes juga ialah pemerkasaan pesakit itu sendiri. Penjagaan kendiri seperti amalan pemakanan, senaman, penjagaan kaki, pemantauan kendiri paras gula dalam darah, pemahaman dan pematuhan ubat perlu sentiasa terus diberi penekanan," katanya.
Dengan tema Personalised and Sustainable Diabetes Care: Building a Healthier Tomorrow, persidangan bermula semalam hingga Ahad, bertujuan mengukuhkan perkongsian pengetahuan dan kerjasama merentas disiplin dalam memerangi diabetes.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami