DAH nama pun tular, pasti tak menang tangan nak siapkan pesanan malah melayan pelanggan yang berkunjung tanpa henti ke kedainya.

Itulah namanya rezeki, namun apabila tular dengan pakej yang lengkap tidak mustahil Abdul Adib Aidil ini tidak diintai oleh mana-mana agensi bakat.

Menurutnya, dia sudah menerima beberapa tawaran namun baginya belum tiba masa untuk dia masuk ke dalam industri seni.

“Bagi Adib, Adib tak akan ke bidang lakonan, sebab Adib pun tiada bakat tetapi kalau nak ambil saya untuk bidang peragaan, insya-Allah Adib akan cuba,”

“Kalau ada tawaran untuk lakonan dan sebagainya saya akan berbincang dulu dengan keluarga, sebab tujuan saya aktif dalam media sosial untuk naikkan perniagaan, sebab itu kalau saya masuk dalam industri hiburan bimbang saya tak fokus dengan perniagaan pula,” katanya kepada Astro AWANI.


BACA: Daripada 'biasa-biasa', kini 70kg pisang terjual tak sampai tiga jam


Pada masa sama, sejak video “Biasa, biasa maksudnya” itu tular ramai yang menghasilkan video “stich” bagi memberi pelbagai reaksi terhadap gelagat pemuda berusia 24 tahun itu.


Menurut Adib, dia sangat terhibur dengan reaksi-reaksi yang diberikan malah menganggap ia sebagai kaedah pemasaran terhadap perniagaanya.


“Saya tak berkecil hati dengan reaksi-reaksi yang diberikan netizen lain, ada yang kelakar dan ada juga satu atau dua yang mungkin sedikit keras gurauan mereka, tetapi bagi Adib itu sedikit sebanyak membantu menaikan lagi nama perniagaan saya ini,” tambahnya.


Bekas pelajar Akademi Penerbangan Malaysia ini juga menyatakan dia masih menantikan tawaran untuk menjadi juruterbang selepas dua tahun menanti susulan industri terkesan dengan COVID-19.


Meskipun perniagaannya semakin maju, anak bongsu daripada tiga beradik ini masih mahu meneruskan impian kanak-kanaknya untuk  bergelar juruterbang.



“Kalau ada rezeki, saya pergi (jadi juruterbang) tapi pada masa sama saya tetap akan meneruskan perniagaan sedia ada ini,” katanya.

Nama Adib dan Banana Dibs lebih dikenali ramai selepas aktif di laman sosial Tiktok dan video “Biasa, biasa maksudnya?” mendapat perhatian netizen.

Tular | Rezeki peniaga Pisang 'Cheese', jualan laris 70kg sehari