Kemeriahan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina secara umumnya dapat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia, namun ada segelintir daripada kaum Cina yang terpaksa bekerja pada hari perayaan itu.

Seorang gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Valarie, 23, tidak pulang ke kampung halamannya di Sabah kerana tuntutan kerja dan masalah kewangan.

Beliau berkata ketika ini majoriti golongan yang tidak pulang ke kampung untuk menyambut perayaan adalah golongan muda yang memilih dan perlu bekerja pada hari tersebut.

Namun, katanya, amalan itu dikhuatiri akan menjejas amalan budaya perayaan di Malaysia suatu hari nanti.

"Jika dapat lihat, kebanyakan yang bekerja pada hari perayaan adalah anak-anak muda. Saya yakin, sekiranya amalan ini berterusan, tidak kira ketika sambutan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali atau perayaan lain... ia akan menjejaskan amalan budaya perayaan di Malaysia pada masa hadapan.

"Lama-kelamaan masyarakat akan lupa dengan amalan perayaan. Kerana anak muda bakal mewarisi negara. Sekiranya kita tidak kisah untuk meraikan perayaan ketika muda apakah yang kita akan ajarkan pada anak-anak pada suatu hari nanti," katanya kepada Bernama, di sini pada Selasa.

Valarie berkata beliau faham akan keadaan ekonomi negara yang menjadi punca utama golongan itu bekerja pada hari perayaan, namun beliau menasihati masyarakat supaya meluangkan masa untuk bersama keluarga.

Beliau turut menyokong dan menyambut baik usaha kerajaan negeri Sarawak yang memberikan subsidi tiket penerbangan buat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) pada musim perayaan.

"Usaha kerajaan negeri Sarawak sangat bagus dan saya berharap ia akan dipertimbangkan oleh negeri-negeri lain untuk diimplementasi.

"Saya sendiri sudah tiga tahun tidak pulang ke kampung kerana tidak mampu membeli tiket penerbangan. Dua tahun ketika saya masih pelajar di IPT dan tahun ini kerana saya baharu sahaja mula bekerja," katanya yang kini bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah gedung membeli-belah di sini.

-- BERNAMA