KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) akan mengisytiharkan cuti peristiwa kepada seluruh rakyat Negeri Selangor pada 14 Ogos, jika gabungan itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung esok.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membuat pengumuman tersebut ketika menyampaikan amanat khas yang disiarkan secara langsung hari ini.

"Dengan berbesar hati juga saya ingin mengumumkan bahawa sekiranya gabungan Perpaduan yang terdiri daripada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional berjaya memenangi PRN Selangor pada 12 Ogos ini, dan membentuk Kerajaan Negeri Selangor, kita bersetuju untuk isytiharkan cuti peristiwa buat seluruh rakyat Negeri Selangor pada 14 Ogos 2023 iaitu pada hari Isnin depan," katanya.

Pengerusi Harapan Negeri Selangor itu menambah PRN di enam negeri ini disifatkan sebagai sangat mustahak kerana ia menentukan hala tuju Kerajaan Negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian untuk enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Di Selangor, sebanyak 56 kerusi menjadi perebutan, dengan 3.74 juta pengundi layak menjalankan tanggungjawab pada pilihan raya berkenaan.