Pembinaan sebuah rumah penginapan atas bukit berunsurkan budaya masyarakat Cina etnik Hakka bakal membuka peluang perniagaan kepada masyarakat setempat, khususnya dalam industri pelancongan.

Meskipun baru dibuka tujuh bulan lepas, Balik Pulau Lodge menerima sambutan hangat dan semakin dikenali berikutan konsep yang unik serta persekitaran suasana yang tenang dan mendamaikan.

Pemilik dan pengasas Balik Pulau Lodge, Maggie Fong, 45, berkata idea membuka sebuah rumah penginapan atas bukit bertujuan memberi nafas baharu kepada sektor pelancongan di Balik Pulau serta mempromosikan pekan berkenaan.

Katanya, kini banyak rumah terbiar di kawasan itu dijadikan rumah penginapan atau inap desa yang bukan sahaja menawarkan suasana sejuk dan aman tetapi memberi pakej makan durian yang mendapat sambutan khususnya bermula bulan Mei.

Balik Pulau Lodge terletak di Pulau Betong di atas ketinggian kira-kira 300 kaki dari paras laut dan didirikan di atas tanah seluas 4.8 hektar itu telah menerima lebih 5,000 tetamu sejak, dibuka.

Fong berkata keunikan Balik Pulau Lodge adalah kerana ia terletak di atas kaki bukit yang juga merupakan penempatan asal masyarakat Hakka dengan majoriti 80 peratus yang sudah berdekad lamanya.

"Kawasan ini bagaikan permata Balik Pulau yang belum digilap dan sangat sesuai untuk diwujudkan aktiviti pelancongan seperti 'homestay' berikutan kawasannya yang tenang dan segar," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Fong berkata kewujudan aktiviti pelancongan di Balik Pulau bukan sahaja memantapkan sektor itu di Pulau Pinang, malah membuka peluang kepada penduduk setempat untuk mengusahakan perniagaan sendiri.

Beliau berkata Balik Pulau Lodge yang didirikan di atas tanah asal penempatan masyarakat Hakka yang berusia lebih 100 tahun itu akan diperkembangkan rentetan permintaan ramai, terutamanya pelancong asing.

"Banyak promosi mengenai Balik Pulau Lodge dilakukan menerusi media sosial dan ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutamanya daripada pelancong asing yang inginkan ketenangan alam semulajadi dan penginapan yang berlainan," katanya.

Fong berkata tanah seluas 1.2 hektar daripada 4.8 hektar itu telah dibangunkan yang menempatkan 12 khemah gaya Afrika dan kira-kira 20 khemah mudah alih di atas rumah lama Hakka itu.

Katanya selain mencipta kelainan di Balik Pulau, objektif membuka hotel berunsurkan Hakka itu adalah untuk menghidupkan semula budaya Hakka yang kini semakin dilupai.

Beliau yang berketurunan Hakka dari Johor Baharu, berkata usaha nenek moyang masyarakat Hakka untuk menjadikan kawasan bukit di Balik Pulau terkenal dengan pelbagai tanaman buah terutama, durian harus dipelajari generasi muda.

Katanya kawasan curam di kawasan itu berjaya dibentuk dan dijadikan kawasan pertanian yang kini terkenal dengan buah durian dan buah pala berikutan kreativiti mereka dalam menyusun batu-batu bagi meratakan tanah yang berbukit-bukau di situ.