SINTOK: Seorang penyelia akaun tidak menyangka hari ini merupakan hari bersejarah bagi dirinya apabila menerima skrol ijazahnya serentak dengan bapanya pada Majlis Konvokesyen Ke-33 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Mu'adzam Shah, UUM.

Izzati Khairunnisa Ismail, 32, merupakan graduan Sarjana Sains (Komunikasi Kepengurusan) manakala bapanya Ismail Zakaria, 62, yang juga pesara kerajaan ialah graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengajian Sosial.

Dua beranak itu antara 244 graduan yang menerima ijazah masing-masing pada sidang pertama majlis konvokesyen itu hari ini yang disempurnakan Naib Canselor UUM Prof Dr Haim Hilman Abdullah.

Izzati Khairunnisa berkata beliau sangat bersyukur kerana bapanya dapat berada bersamanya di dalam dewan itu menyaksikannya menerima ijazah memandangkan ibu bapa graduan tidak dibenarkan memasuki dewan kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan COVID-19.

"Saya tidak sangka, ayah dapat masuk sekali dengan saya ke dalam dewan. Di samping nak ambil skrol ijazah PhD ayah, ayah boleh melihat saya terima ijazah saya ini, kami boleh melihat satu sama lain naik ke pentas," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi pertama majlis konvokesyen itu.

Izzati Khairunnisa yang bekerja dengan sebuah koperasi di Perlis dan anak kedua daripada tiga beradik itu berkata beliau merancang untuk mengikut jejak langkah bapanya menyambung pengajian pada peringkat PhD selepas ini.

Sementara itu, bapanya Ismail yang merupakan bekas Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Pokok Sena memberitahu beliau menghabiskan pengajian pada peringkat PhD itu dalam tempoh hampir lapan tahun.

Datuk kepada tiga cucu itu berkata beliau berasa sangat gembira pada hari ini kerana telah berjaya mencapai impiannya sejak kecil iaitu untuk memiliki PhD meskipun berhadapan cabaran sehingga pernah patah semangat untuk menamatkan pengajian.

"Saya menghadapi cabaran daripada segi pembahagian masa untuk siapkan tesis, selain itu mengimbangi masa sebagai pelajar dan bekerja (sebelum bersara) dan paling mencabar untuk buat analisis data, yang harus dipastikan betul.

"Ini buat saya rasa putus asa, tetapi saya terapkan di dalam diri ini bahawa orang lain boleh berjaya kenapa saya tidak boleh (berjaya)," katanya yang juga seorang pensyarah sambilan di sebuah universiti swasta di Kedah.

Ismail berkata beliau sangat menggalakkan tiga anaknya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan beliau ada membantu memberikan tunjuk ajar kepada Izzati Khairunnisa dalam menyiapkan tesis untuk pengajian sarjana anaknya itu kelak.

Seramai 4,052 graduan yang menamatkan pengajian pada 2020 menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-33 UUM yang berlangsung selama tujuh hari, bermula hari ini.

-- BERNAMA