GAYA HIDUP
Bazar Buku Antarabangsa Johor 2025 lebih fokus, sasar hab perbukuan serantau

Bazar Buku Antarabangsa Johor bukan sekadar medan jualan tetapi
sebuah permulaan hubungan erat antara buku dan pembaca. - Foto: Perbadanan Perpustakaan Awam Johor
JOHOR BAHRU: Peranan perpustakaan hari ini lebih daripada sekadar sebuah institusi yang menawarkan peminjaman buku, sebaliknya menjadi penggiat wacana ilmu, pembudaya bacaan serta pembangun kandungan.
Mengukuhkan aspirasi penganjuran yang dilangsungkan secara konsisten setiap tahun, Bazar Buku Antarabangsa Johor 2025 (BBAJ 2025) kembali menjadi acara yang dinanti-nanti para pencinta buku dan pemain industri, sekali gus bertindak sebagai medan pendedahan, jaringan kerjasama dan pertukaran idea yang akan mencambahkan lagi ekosistem perbukuan.
Bakal mengambil tempat di Paradigm Mall, Johor Bahru, acara yang disusun pada tarikh 31 Julai hingga 4 Ogos nanti, BBAJ 2025 menawarkan pendekatan yang lebih segar dan berfokus.

"Meskipun berskala kecil berbanding Pesta Buku Peringkat Kebangsaan, BBAJ 2025 melalui konsep “Boutique International Book Fair” dirangka supaya pempamer mudah dilihat oleh pengunjung, selain aliran trafik diatur dengan baik sepanjang reruai supaya pengunjung tidak terlepas melawat setiap pempamer yang ada.
"Kehadiran penerbit atau pembekal antarabangsa boleh membantu menjadikan BBAJ 2025 ini lebih bernilai lalu menarik lebih ramai pengunjung. Kerjasama ini secara tidak langsung memberi manfaat jualan serta pendedahan kepada pembekal tempatan juga antarabangsa," menurut kenyataan daripada pihak penganjur.

Tambah kenyataan itu, BBAJ 2025 memudahkan pihak penerbit dan pembekal tempatan berkenalan secara terus dengan pengunjung dan membuka jalan kepada kolaborasi baharu dengan pihak pembekal antarabangsa.
Jalinan itu juga dapat membantu pertukaran kemahiran dengan melihat sendiri kualiti penerbitan dari negara luar termasuklah mengambil inspirasi daripada gaya reka letak dan ilustrasi kulit buku, trend genre pembacaan terkini mahupun teknik penyampian kandungan mereka.

"Penerbit dan pembekal tempatan diharap dapat mempamerkan hasil karya mereka yang merangkumi pelbagai genre secara bersemuka dan berbentuk fizikal terhadap komuniti pembaca yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
"Hubungan kerjasama yang terjalin sepanjang BBAJ 2025 ini juga diharap akan memberi inspirasi untuk membangunkan kualiti kandungan dan penerbitan buku ke tahap yang lebih tinggi," tambah kenyataan itu.

Antara pengisian BBAJ 2025 pada hari ketiga, sesi perkongsian Teratak Wacana bersama Zainal Rashid Ahmad.
Berlangsung selama lima hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam, pelbagai aktiviti telah disusun antaranya pertunjukan sains, sesi bicara santai, wawancara, penstriman, forum khas, pertandingan pidato, serta persembahan muzik, nyanyian dan tarian tradisional.
BBAJ merupakan acara tahunan yang dianjurkan bersama oleh Kerajaan Negeri Johor, Perbadanan Perpustakaan Awam Jojor, dan Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia (MPAM), berserta gabungan rakan strategik.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami