Orang ramai dinasihatkan berhati-hati agar tidak terjerat dengan pakej pelancongan murah terutama untuk menunaikan umrah dan melancong ke luar negara menerusi beberapa syarikat pelancongan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu Azlan Abdul Samat berkata taktik penipuan boleh berlaku dalam pelbagai cara termasuklah dengan menunda jadual penerbangan.

Katanya setakat ini sebanyak 17 aduan telah diterima oleh pihaknya, membabitkan kerugian berjumlah RM30,904 dan sesetengan daripada kes tersebut telah dibawa ke mahkamah.

"Mangsa boleh tampil membuat aduan kepada KPDNKK. Jika ingin melancong, semaklah pendaftaran syarikat pelancongan berkenaan dengan kementerian pelancongan dan untuk pakej umrah, bolehlah membuat semakan dengan Tabung Haji kerana badan itu sahaja yang mengeluarkan visa menunaikan Umrah dan Haji.

"Orang ramai jangan mudah terjerat dengan tawaran murah yang disediakan oleh syarikat-syarikat pelancongan terutama membabitkan umrah, ada tawaran antara RM3,000 dan RM4,000 seorang," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Azlan berkata mereka yang tertipu boleh juga boleh melaporkan ke Tribunal Tuntutan Pengguna untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA