BURBERRY menjadi jenama mewah pertama yang melancarkan koleksi pelitup mulut dan hidung.

Jenama itu mengumumkan pelancaran koleksi tersebut pada Khamis walaupun tarikh sebenar bila ia boleh mula didapati di pasaran belum diketahui.

The Guardian melaporkan pelitup rekaan Burberry yang mementingkan aspek kelestarian itu dihasilkan daripada kain yang tidak digunakan dan menggunakan teknologi antimikrob.

Menurut laman web Burberry UK, pelitup muka itu akan dijual dengan harga £90 (kira-kira RM490) setiap satu, dengan dua pilihan warna iaitu kuning air dan biru.

Setiap pembelian juga akan disertakan dengan beg kecil bagi tujuan penyimpanan.

Sebanyak 20 peratus ​​daripada hasil penjualan akan disumbangkan kepada Tabung Komuniti Yayasan COVID-19.

Semenjak ditubuhkan, tabung itu telah membantu memberi sumbangan kepada mereka yang terkesan akibat COVID-19, malah turut menyumbangkan dana bagi penyelidikan vaksin.

Burberry tidak bersendirian dalam usaha amalnya kerana jenama mewah lain seperti Gucci, Versace, Chanel, dan Louis Vuitton turut memberikan sumbangan yang besar dalam usaha memberi bantuan di Eropah.

April lalu, Business Insider melaporkan Burberry menggunakan kilang untuk menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE), termasuk gaun hospital dan pelitup muka.