EKA Kurniawan, penulis novel Indonesia yang telah memenangi pelbagai anugerah, bukanlah untuk sesiapa yang senang berasa mual. Hasil karyanya yang terunggul, “Beauty is a Wound” (bertajuk asal “Cantik itu Luka”), dipenuhi dengan pelbagai gambaran yang kurang menyenangkan – bayangkan darah haid, air mani najis dan air kencing – sekali gus membuatkannya jauh berbeza dengan novel kisah cinta remaja ataupun kisah hubungan luar nikah dalam golongan borjuis di Hampstead ataupun sebuah novel genre jenayah.

Sebaliknya, Kurniawan menarik pembacanya masuk ke dalam dunia kepulauan Jawa yang tersendiri, justeru mengingatkan kita bahawa pulau yang mempunyai populasi terpadat di dunia (seratus lima puluh juta orang dalam kawasan sebesar England, dan masih bertambah..) jauh lebih hingar berbanding dengan kehidupan pasif golongan elitnya yang terkenal dengan tarian istananya yang serba pelahan dan lenggok bahasanya yang halus dan berlapik.

Teknik penceritaan novel tersebut adalah seperti satu khayalan yang mengajak kita berhalusinasi.

Di samping mempunyai plot yang padat dan dipenuhi dengan watak-watak dan peristiwa yang menarik, “Beauty is a Wound” juga menampilkan petikan-petikan ringkas. Sebagai contoh, pandangan Memen Gedeng – seorang samseng – terhadap kemanusiaan: “Semua manusia adalah mamalia, serupa dengan anjing dan berjalan dua kaki seperti seekor ayam.”. Tambahan pula, Jawa yang digambarkan Kurniawan bukan hanya sekadar digunakan sebagai latar belakang.

Novel ini dimulakan dengan kebangkitan Ayu dari mati, satu kejadian yang biasa (dalam dunia Halimunda). - Foto senirupa.blogspot.com
Beliau telah berjaya mereka cipta sebuah kota imaginasi, Halimunda, yang mampu mewarisi legasi kota Macondo yang dicipta Gabriel Garcia Marquez dan Yoknapatawpha County yang dicipta oleh William Faulkner. Di Halimunda, lapisan dan gabungan pengaruh dan kebudayaan yang pelbagai – Hindu, animisme, Islam, Eropah dan Cina – sangat mengelirukan minda.

Ayu Dewi yang cantik dan berdarah campur, (hasil hubungan sumbang mahram) merupakan watak utama novel ini. Novel ini dimulakan dengan kebangkitan Ayu dari mati, satu kejadian yang biasa (dalam dunia Halimunda).

Setelah berjaya mendapatkan semula rumah dan pembantunya yang pekak dan bisu, Rosina, beliau mandi dan kemudian melapah semua makanan di rumah sehingga bersendawa liar dan kentut: “…berkali-kali mengeluarkan bunyi yang tidak menyenangkan dari duburnya, sejenis kentut yang tidak dapat ditahan..”

Novel ini kemudian mengimbas kembali kepada zaman sebelum peperangan iaitu zaman kanak-kanak Dewi Ayu sewaktu era penjajahan Belanda – dunia yang dipenuhi dengan pesta-pesta di gelanggang tenis, pembantu rumah yang patuh, kediaman-kediaman yang riuh rendah serta kemewahan ala Buitenzorge – sebelum terperangkap dalam pencerobohan Jepun, kehidupan di kem tahanan, keganasan dan pelacuran wanita kepada tentera.

Sepanjang cerita ini, watak Dewi Ayu sentiasa cekal dan sentiasa menarik perhatian. Hal ini tidak mengejutkan kerana wajah “Pan-Asian” beliau mampu untuk menarik perhatian penonton wayang dan televisyen di Asia Tenggara; sama seperti Pevita Pearce dari Indonesia dan Anne Curtis Smith dari Filipina.

Namun, perkara yang amat menarik adalah semangat dan kata-kata wanita ini yang sukar dilupakan. Sebagai contoh, cara beliau merujuk kepada anak-anak perempuannya: “Mereka tinggal sebaik sahaja mereka tahu bagaimana melondehkan seluar seseorang lelaki.”

Bagi Dewi Ayu, yang berwajah putih dan bermata biru, cinta itu hanya sebuah komoditi, sesuatu yang boleh diperdagangkan untuk terus hidup. Walaupun pada mulanya dia berasa agak jelek, Dewi Ayu memaksa dirinya untuk meniduri komandan di kem tahanan Jepun untuk mendapatkan ubat.

Beberapa tahun kemudian dan setelah menjadi pelacur yang paling diminati di pekannya, dia sedar bahawa ketabahannya telah melindungi dirinya daripada perasan gurit dan sakit hati yang telah melanda anak-anak perempuannya dan para kekasih mereka.

Muka depan novel asal 'Cantik itu Luka' tulisan Eka Kurniawan.Walaupun Kurniawan sering dibandingkan dengan Pramoedya Ananta Toer, penulis haluan kiri pada zaman pemerintahan Sukarno dan era perit selepas itu, persamaan antara mereka tidak begitu sesuai.

Kurniawan meraikan kemanusiaan yang telah diciptakan olehnya manakala Pramoedya, seorang yang komited dan merupakan ideolog berdogma yang cekal, dilihat seperti terperangkap dalam obsesinya.

Nilai-nilai kemanusiaan inilah yang membuatkan “Beauty is a Wound” sangat mengagumkan, luar biasa dan subversif pada waktu wacana awam dipenuhi dengan agenda haluan kanan yang konservatif.

Selain daripada Dewi Ayu, watak-watak yang lain menghambakan diri mereka kepada perasaan. Apabila mereka jatuh cinta, dunia berhenti secara literal.

Peristiwa “a coup de foudre” telah menggegarkan kepulauan Jawa sehingga ke samudera.

Contohnya, apabila anak kedua kepada Dewi Ayu, Allamanda – yang sangat manipulatif– jatuh cinta dengan aktivis komunis yang tampan, Kliwon:

“Apabila menyedari bahawa dia telah benar-benar jatuh cinta, kebencian Allamanda terhadap hatinya yang telah tertawan tersebut telah mendorongnya untuk memadamkan perasaan ini dengan mencari jalan untuk membuatkan lelaki itu sungkur jatuh ke telapaknya.”

Seperti mana yang dituliskan oleh Jon Fasman di New York Times, karya Eka menunjukkan “…bagaimana alur sejarah menjerat, mencampak, membawa dan kadang-kala melemaskan kita.”

Eka Kurniawan adalah tukang cerita Asia Tenggara yang mempunyai pemahaman yang kuat dan menakjubkan terhadap subjek material yang dipilihnya.

Beliau menolak mereka yang bergaya dan dari golongan elit.

Sebaliknya, beliau lebih suka kepada sesuatu yang manusiawi dan berakar umbi.

Beliau membuatkan kita ketawa, terkejut dan menangis – satu demi satu.

Keistimewaan novel ini adalah pada tahap tinggi seperti menonton tayangan wayang sepanjang malam.

Inilah karya yang agung dan benar, saya sanggup berkorban apa sahaja untuk menjadi pengarangnya.