JERLUN: Setiap kali bulan puasa, pelbagai jenis kuih muih tradisional akan disediakan sebagai juadah berbuka puasa.

Di negeri Kedah misalnya, antara hidangan yang bagaikan menjadi kewajipan ialah dangai kemboja yang cukup mudah ditemukan sepanjang Ramadan.

Kuih yang hanya dihasilkan dengan tiga bahan utama iaitu tepung, gula dan kelapa sangatlah masyhur dalam kalangan masyarakat di negeri jelapang padi ini.

Bagi pengusaha dangai kemboja, Che Elina Abd Rahman, 38, dia mula belajar membuat kuih berkenaan daripada ibu saudaranya 15 tahun lalu sebelum berani mengembangkannya dalam perniagaan.

Kata Che Elina, proses menyediakan dangai kemboja  tidaklah sesulit mana kerana bahan asas yang digunakan mudah diperoleh.

Bagi mengekalkan keenakan dangai, Che Elina akan memasaknya dalam bekas turun temurun yang diberikan ibu saudaranya.

Setiap acuan sarangnya dapat menghasilkan enam biji dangai sekali dimasak.

Che Elina sibuk memasak kuih dangai kemboja. - Gambar Astro AWANI

Kata Che Elina, dangai tidak perlu dibakar lama, memadai hanya dua minit lalu di ketuk di atas papan pemotong sebelum dipotong dan ditangkup.

Bagaimanapun, untuk menyediakannya, ada pantang larangnya kerana jika tidak kena pada bahannya dangai tidak akan sedap.

“Kita tak boleh kelapa yang terlalu tua, kena pakai kelapa muda…  itu pantang larangnya, kalau kita guna kelapa tua kita akan batuk bila makan keranai dangai itu akan melekat kerongkong kita,” dedah Che Elina mengenai rahsia menyediakan dangai.

Kuih dangai sentiasa menjadi pilihan di bulan Ramadan. - Gambar Astro AWANI

JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK

Kerana keenakan dangai kemboja Che Elina juga, maka tidak hairanlah kenapa ramai yang mencarinya.

Bukan setakat enak tetapi ianya tahan sehingga dua hari tidak basi kerana kelapa dibakar dengan sempurna.

Sementara itu, penggemar kuih tradisional, Mohd Ridzuan Mohd Dahalan berkata, dangai kemboja merupakan juadah paling ideal semasa berbuka puasa. 

Seorang lagi penggemar dangai, Kassim Saad berkata, keenakan dangai kemboja terletak pada rasanya yang manis bercampur lemak.

“Setiap kali bulan puasa, mesti beli dangai,” kata Kassim.