Pemain-pemain Defence of The Ancient 2 (Dota 2) Malaysia di bawah pasukan Fnatic bakal berdepan laluan sukar untuk memburu kedudukan empat teratas dalam acara kumpulan kejohanan The International 2015 (TI5).

Pasukan ini berada dalam 'kumpulan maut' bersama pasukan ranking pertama dunia, Secret dan ranking pertama China, pasukan LGD Gaming selepas diundi penganjur kejohanan, Valve pada Khamis.

Pengurus Pasukan Fnatic Dota 2, Eric Khor Wei Soon berkata biarpun laluan menjuarai kejohanan di Seattle ini bertambah liku namun ia tidak sesekali pun mematahkan semangat ahli-ahli pasukannya.

"Sejujurnya saya juga rasa kami berada dalam kumpulan yang dipenuhi dengan pasukan-pasukan yang sukar ditewaskan. Namun seperti pemain-pemain saya katakan, untuk memenangi kejohanan ini, kami memang perlu mengalahkan setiap pasukan yang bertanding.

"Jadi kami hanya perlu fokus untuk menewaskan pasukan-pasukan ini. Jikalau kami tidak mampu menewaskan mereka, kami tetap akan ke acara utama dan kami akan berdepan dengan pasukan-pasukan tercorot dalam Kumpulan B.

"Walaubagaimanapun, saya sangat yakin jika Fnatic mampu memberikan usaha 100 peratus, menduduki kedudukan empat yang terbaik adalah bukan satu perkara yang mustahil. Kami hanya perlu melakukan cara tersendiri untuk menang," tambah Eric ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

Dota
Senarai pasukan yang akan bertanding Kejohanan Dota 2 The International 2015 (TI5) di Seatlle, Amerika Syarikat yang akan bermula pada 27 Julai ini. - Foto Laman Rasmi Dota 2

Dota
Fnatic akan bertemu dengan Secret pada perlawanan pembukaan iaitu pada 27 Julai 10.00AM PDT atau bersamaan 28 Julai 12.00pagi waktu Malaysia. - Foto Laman Rasmi Dota 2

Dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan nanti, Fnatic bakal bertembung dengan musuh tradisinya Secret pada jam 9 pagi waktu tempatan pada 27 Julai iaitu kira-kira jam 12 pagi waktu Malaysia pada 28 Julai.

Pertembungan ini juga turut mendapat perhatian bekas pengurus pasukan Arrow Gaming, Firdaus Hashim.

Bagi Firdaus, beliau menyeru kepada peminat untuk percaya setiap kebolehan yang ada pada setiap Malaysia.

"Teruskan menyokong Fnatic dan jangan cepat putus asa kepada mereka. Percaya pada kebolehan pemain malaysia kerana sokongan anda akan memberikan semangat dan motivasi kepada mereka di saat genting," ujar Firdaus kepada Astro AWANI pada Jumaat.

Beliau menjangkakan Fnatic mampu menduduki tempat ke-tiga dalam peringkat kumpulan.

Sementara itu, pengasas Komuniti Dota 2 Malaysia, Lukman Abdul Mutalib berkata beliau percaya pemain Malaysia mampu mencipta kejutan dalam kejohanan terkemuka ini.

"Fnatic mampu cipta kejutan kerana Pasukan Malaysia yang sebelum ini pada ranking ketujuh boleh mengalahkan pasukan Secret yang juga ranking nombor satu ketika tu."
Perlawanan di antara Pasukan Secret (Gabungan negara Eropah) menentang Fnatic (Malaysia) dalam Kejohanan ESL One 2015 di Frankfurt, Jerman. Fnatic tewas 2-0 dalam perlawanan ini.- Video Dota 2 HighLights Daily
Selain Secret, LGD Gaming, dan Fnatic, Kumpulan A turut disertai oleh compLexity Gaming, Invictus Gaming, Natus Vincere, dan Cloud9.

Dalam peringkat kumpulan ini tidak akan berlaku sebarang penyingkiran di mana setiap pasukan akan merebut kedudukan upper bracket dalam acara utama.

Upper bracket ini akan diduduki empat pasukan teratas dalam setiap kumpulan di mana mereka akan mendapat kelebihan dengan meraih lebih 'nyawa' manakala empat pasukan terbawah akan bermain dalam lower bracket pada acara utama yang akan diadakan pada Ogos.

Sebelum ini pasukan Fnatic telah menjalani latihan khas di Jonkoping, Sweden sebagai persiapan menghadapi kejohanan TI5 ini.

Menurut Facebook rasmi Fnatic, mereka kini telah pun berada di Seattle dan menjalani latihan yang lebih rapi untuk kejohanan permainan video dalam talian ini.

Setakat ini wang terkumpul kejohanan TI5 adalah sebanyak AS$$17,297,065 ( RM 65,728,847) di mana kira-kira 36 peratus daripadanya adalah hadiah wang tunai bagi pasukan yang menduduki tempat pertama kejohanan ini iaitu sebanyak AS$6,226,943 (RM 23,662,383).