KUALA LUMPUR: Masyarakat  perlu meningkatkan kepentingan kesedaran terhadap masalah kesihatan mental, di samping mengelakkan tanggapan serong terhadap individu yang menghidap penyakit iut.

Menurut Pegawai Psikologi Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), Norhaidah Asma Mohd Hasim, tanggapan yang negatif menjadikan mereka yang mempunyai masalah terkait kesihatan mental dipinggirkan daripada mendapat bantuan sewajarnya.

"Stigma kesihatan mental ni merujuk kepada stereotaip atau pemikiran seorang individu itu berkaitan dengan kesihatan mental sehinggakan mereka ini bertingkah laku untuk meminggirkan atau mengelak daripada membantu dan bersama-sama dengan individu yang mengalami  masalah kesihatan mental," katanya ketika ditemu bual dalam program AWANI Pagi pada Sabtu.

AWANI Pagi: Hentikan stigma kesihatan mental

Mengulas lanjut, beliau berkata, perkara utama yang perlu difahami dalam konteks penghidap kesihatan mental adalah menyedari perubahan yang berlaku dalam diri individu.

Ini, katanya, termasuk perubahan emosi yang boleh menjejaskan aktiviti seharian individu.

"Pendekatan yang paling utama adalah diri kita sendiri. Bila kita rasa ada sesuatu yang tidak selesa dengan kita, perubahan tingkah laku, emosi, ataupun menyebabkan kita rasa tidak seronok menjalankan aktivit-aktiviti harian, yang pertama kita perlu dapatkan bantuan untuk diri sendiri," ujar beliau.

Selain itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga giat memperkasakan kesedaran dan bantuan mengenai kesihatan mental termasuk pautan MyMinda yang diperkenalkan di dalam aplikasi MySejahtera.

"Yang paling mudah sekarang KKM juga memperkasakan lagi peranan Mysejahtera. Kita sediakan satu pautan yang penting, iaitu MyMinda, dalam (MyMinda) masyarakat atau individu itu boleh membuat saringan untuk diri sendiri dan mereka boleh dapatkan intervensi dan rujukan ataupun intervensi awal di klinik berdekatan," tambahnya.

Langkah ini sejajar dengan usaha KKM menerusi kempen membendung stigma terhadap kesihatan mental menerusi tema sambutan di peringkat kebangsaan pada Oktober lalu iaitu Kesihatan Mental Milik Semua, Hentikan Stigma.